KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan kemajuan besar dalam Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), sekali gus memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai blok ekonomi dinamik di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong berkata, penambahbaikan ATIGA menjadi langkah penting ke arah mempertingkat aliran perdagangan barangan, memudahkan prosedur kastam serta mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif antara negara anggota.
Menurutnya, penandatanganan semula ATIGA yang dinaik taraf itu mencerminkan keazaman ASEAN untuk terus memperkukuh integrasi serantau walaupun berdepan cabaran ekonomi global.
“ATIGA ialah salah satu perjanjian ekonomi paling penting dalam ASEAN. Ia bukan sahaja memudahkan perdagangan dan mengurangkan tarif, malah menambah baik prosedur kastam serta menghapuskan halangan bukan tarif.
“Ini isyarat jelas kepada dunia yang walaupun keadaan global mencabar, ASEAN tetap memperkukuh kerjasama dan keterangkuman ekonomi serantau,” katanya pada sesi sidang media ringkas selepas Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.
Mengulas lanjut, Kim Yong berkata, selain ATIGA, ASEAN turut mencapai kemajuan ketara dalam rundingan Perjanjian Ekonomi Digital, yang bakal dimuktamadkan dan ditandatangani tahun depan.
Perjanjian itu akan menjadi platform utama bagi menyelaras dasar digital, memperkukuh perdagangan berasaskan teknologi serta menggalakkan kesalinghubungan digital antara negara anggota.
“Digitalisasi kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Melalui perjanjian ini, ASEAN boleh menyeragamkan piawaian, sistem dan dokumen perdagangan digital untuk meningkatkan kecekapan serta peluang ekonomi baharu.
“ASEAN juga sedang meneroka bidang kerjasama ekonomi hijau dan mampan, termasuk peluang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan rantaian bekalan lestari,” katanya.
Tambah beliau, ASEAN sedang memperluas hubungan perdagangan dengan rakan luar seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Kesatuan Eropah (EU) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi memperkukuh kedudukan rantau ini dalam rantaian bekalan global.
“Kami kini beralih daripada model ASEAN+1 kepada pendekatan ASEAN bersama kumpulan ekonomi lain seperti GCC dan EU. Walaupun mungkin tidak semua akan membentuk perjanjian perdagangan bebas, ia tetap membuka ruang baharu untuk dialog dan kerjasama,” tambahnya.
Mengulas mengenai kepengerusian ASEAN tahun ini, beliau berkata, menyaksikan banyak kemajuan dalam agenda ekonomi serantau dan menyatakan kesediaan Singapura untuk bekerjasama rapat dengan Filipina sebagai pengerusi ASEAN tahun hadapan.
“Kami menghargai kepimpinan Malaysia yang berjaya memperkukuh kerjasama ekonomi ASEAN tahun ini, dan Singapura bersedia bekerjasama dengan Filipina bagi memastikan kesinambungan kejayaan itu tahun depan,” katanya. – UTUSAN








