KLANG: Masalah brek dan gear dipercayai menjadi punca sebuah lori tanah hilang kawalan sebelum merempuh tiga kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Cerakah, Meru, Selasa lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd. Rahimi Zainol berkata, siasatan awal pihaknya mendapati pemandu lori berusia 35 tahun itu memaklumkan kenderaannya mengalami kerosakan ketika menuruni cerun jalan sebelum hilang kawalan.
“Pemandu mendakwa lori yang dipandunya mengalami masalah brek serta gear menyebabkan ia tidak dapat diberhentikan sebelum melanggar beberapa kenderaan di hadapan,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Jelasnya, lori berkenaan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan teknikal bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes masih disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menentukan punca sebenar kemalangan. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan enam daripada tujuh individu cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori tanah, lori sampah dan dua Perodua Myvi.
Mohd. Rahimi ketika itu berkata, mereka mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Shah Alam, Hospital Puncak Alam dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan.
“Mangsa yang dirawat di Hospital Shah Alam mengalami patah kaki kiri,” katanya. – UTUSAN










