Mimpi adik datang minta maaf sebelum lemas - Utusan Malaysia

Mimpi adik datang minta maaf sebelum lemas

IBU kepada Muhammad Khalish Rayqarl Hasimibudi, Norazmirah Azwan (kiri) tidak mampu menahan sebak ketika ditemui di Unit Forensik HSI, Johor Bahru, Johor semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kakak kepada kanak-kanak yang mati lemas di Tasik Menawan, Taman Pelangi Indah di sini, bermimpi didatangi adiknya yang kemudiannya memeluk dan meminta maaf.

Nur Qisha Adelia, 11, berkata, sebelum tragedi, dia melihat Allahyarham Muhammad Rayyan Iskandar, 9, bermain bola sebelum keluar bersama rakannya sekitar pukul 6 petang, kelmarin.

“Saya nampak dia main bola, lepas itu dia balik rumah sekejap. Itu kali terakhir saya nampak dia.

“Lepas maghrib dia tak balik, saya macam rasa sesuatu tak kena sebab teringat beberapa hari sebelum itu saya mimpi dia meninggal dunia. Tapi saya tolak fikiran itu sebab tak nak percaya benda bukan-bukan. Rupanya Allah nak beri petunjuk.

“Dalam mimpi itu, dia datang peluk saya dan minta maaf, dia cakap ‘kak jangan nangis, kalau kau nangis macam mana aku nak pergi dengan tenang’,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.

Muhammad Rayyan Iskandar merupakan salah seorang kanak-kanak yang ditemui mati lemas di Tasik Menawan, awal pagi semalam.

Kira-kira pukul 2.28 pagi, selain Muhammad Rayyan Iskandar turut ditemukan lemas ialah rakannya, Muhammad Khalish Rayqarl Hasimibudi, 10.

Nur Qisha Adelia berkata, dia dan keluarga bergegas ke kawasan tasik selepas diberitahu terdapat kejadian lemas di situ dan terus mengenali joran yang digunakan adiknya.

“Kami tunggu adik pulang, tetapi sampai ke malam dia tidak balik rumah. Ibu memaklumkan kepada ayah untuk mencari adik sebelum pihak polis menemui selipar milik adik dan kawannya

“Bila nampak joran dan selipar itu saya dah tahu, itu memang milik dia,” ujarnya.

Dalam pada itu, ibunya, Nur Shuhadah Ramli, 30, berkata, sebelum kejadian, Allahyarham sudah dua minggu tidak keluar bermain, meskipun diajak rakan-rakan.

“Petang itu, bila Muhammad Khalish Rayqarl datang ajak, dia terus keluar main. Katanya teringin hendak main, tapi rupa-rupanya dia pergi memancing. Dia memang minat memancing sejak kecil.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×