KLANG: Empat individu termasuk seorang pemandu lori sampah mengalami kecederaan selepas dirempuh sebuah lori pembawa tanah dekat persimpangan Jalan Meru Tambahan dan Kampung Bukit Cherakah Jaya, di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian tersebut melibatkan empat buah kenderaan termasuk dua Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
Menurutnya, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.07 pagi.
“Terdapat tiga mangsa lelaki dewasa (warga asing) dan seorang wanita berusia 34 tahun mengalami kecederaan. Kesemua mangsa dikeluarkan dari kenderaan sebelum pasukan bomba sampai.
“Kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada petugas kesihatan untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, video kemalangan tersebut tular dalam media sosial memaparkan ‘kepala’ lori sampah terputus akibat dirempuh sebuah lori tanah yang turut menghentam dua Perodua Myvi yang berada di laluan sama.
Berdasarkan video kamera papan pemuka dari sebuah kenderaan yang berdurasi 23 saat itu, lori sampah berkenaan dari arah Kampung Bukit Cherakah Jaya menuju ke Klang dan didapati gagal berhenti pada lampu merah akibat terbabas.
Justeru, lori terbabit terus merempuh tiga kenderaan yang meneruskan perjalanan sebaik sahaja lampu hijau dari arah Kuala Selangor ke Klang. – UTUSAN










