Kes Dr. Mahathir saman Anwar sambung Khamis ini

Kes Dr. Mahathir saman Anwar sambung Khamis ini

Mahathir Anwar
DR. Mahathir Mohamad meninggalkan pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas menghadiri perbicaraan ke samannya terhadap Anwar Ibrahim, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbicaraan kes saman Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi, di sini bersambung Khamis ini susulan bekas Perdana Menteri Ketujuh itu mengalami masalah kesihatan.

Tarikh tersebut dibenarkan Hakim Datuk Donald Joseph Franklin selepas permohonan dibuat oleh peguam Mohd. Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr. Mahathir pada perbicaraan hari ini.

Beliau berkata, anak guamnya itu tidak sihat dan mengambil ubat sebelum hadir ke mahkamah pada pagi tadi.

“Tun (Dr. Mahathir) mengambil ubat sebelum hadir ke mahkamah, tadi. Jadi, mohon Yang Arif membenarkan perbicaraan disambung pada 23 Oktober ini,” katanya.

Terdahulu, ketika memberi keterangan, Dr. Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri Keempat selama 22 tahun itu menegaskan tindakan saman terhadap Anwar diambil kerana memfitnahnya menyeleweng wang negara ketika menjawat jawatan tersebut.

Menurut bekas Presiden UMNO itu, tuduhan Anwar tidak berasas selain tidak pernah mengemukakan bukti berlakunya salah laku tersebut kepada umum.

“Ucapan Anwar ditujukan kepada saya. Kali pertama (saya jadi Perdana Menteri) 22 tahun. Kali kedua 22 bulan. Dalam ucapan itu, saya (dituduh) memperkayakan diri, keluarga, kroni. Saya tidak bayar cukai. Bawa duit ke luar negara.

“Itu dinyatakan Anwar. Itu adalah fitnah dan dia perlu tunjuk bukti (berdasarkan tuduhan itu),” katanya.

Pada prosiding tersebut, Anwar diwakili Ranjit Singh, beliau akan menjalankan sesi pemeriksaan balas anak guamnya sebagai defendan dengan plaintif pada Khamis ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Dr. Mahathir, memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut rugi RM150 juta berhubung ucapan Anwar, 78, ketika Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme di Shah Alam pada 18 Mac 2023.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menuntut ganti rugi am RM50 juta dan teladan sebanyak RM100 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×