Pening hadap isteri suka marah-marah

Pening hadap isteri suka marah-marah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN

Isteri saya selalu marah-marah, kadangkala kemarahannya hingga di luar kawalan (cederakan diri). Dia pernah ke klinik minta ubat tidur tetapi dapat surat rujukan ke hospital. Perlukah saya bawa isteri ke hospital atau ada cara lain untuk dapatkan bantuan?

Suami sedih

JAWAPAN

Emosi yang tidak terkawal boleh menyebabkan seseorang mudah marah, hilang rasional dan bertindak di luar kawalan.

Jika keadaan ini berlaku secara berterusan, ia boleh memberi tekanan emosi yang serius sehingga memerlukan bantuan profesional. Kadangkala, kemarahan yang meluap datang daripada luka batin yang terpendam. Ia bukan menanda kelemahan, tetapi tanda diri sedang perlukan pertolongan. Berikut beberapa kaedah untuk membantu isteri:

Dengar tanpa menghakimi – Luangkan masa mendengar dengan empati tanpa menilai atau menyalahkan. Individu yang beremosi sering berasa tidak difahami, maka dengarlah dengan penuh perhatian dan nada lembut. Kadangkala, kelegaan bermula apabila ada yang sudi mendengar tanpa mengkritik.

Kenal pasti emosi – Bantu isteri mengenal pasti punca sebenar kemarahan. Ia mungkin berpunca daripada pengalaman lampau, trauma atau tekanan yang tidak diluahkan. Apabila isteri mula mengenal pasti pencetus emosinya, dia akan lebih sedar terhadap perubahan perasaan dan boleh mengambil langkah awal sebelum marah menjadi tidak terkawal.

Bantuan Profesional – Jika isteri mencederakan diri, ini tanda isteri memerlukan bantuan kaunselor, pakar psikologi atau psikiatri. Rawatan profesional dapat membantu mengenal pasti punca mendalam dan mengajar cara kawalan emosi yang sihat. Berikan sokongan moral dan jelaskan rawatan bukan hukuman, tetapi peluang untuk sembuh.

Belajar kawal diri – Bantu isteri mengamalkan teknik kawalan emosi seperti pernafasan dalam (tarik, tahan dan hembus perlahan), menulis jurnal emosi atau meluahkan melalui seni. Kaedah ini membantu menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan secara selamat.

Menjaga keselamatan – Jika isteri menunjukkan kecenderungan mencederakan diri, pastikan dia tidak dibiarkan bersendirian. Jauhkan objek berbahaya dan jika keadaan semakin teruk, segera ke hospital atau hubungi talian bantuan seperti Talian Kasih 15999, HEAL 15555 atau Befrienders (03-7627 2929).

Bina sokongan emosi – Galakkan isteri untuk membina rutin yang sihat seperti bersenam ringan, berjalan, menulis jurnal atau menyertai aktiviti komuniti. Kehidupan yang teratur membantu kestabilan emosi dan mengurangkan tekanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×