KUALA LANGAT: Sesi persekolahan bagi sekurang-kurangnya 4,000 pelajar di lima buah sekolah rendah dan menengah serta sekolah agama dekat Sijangkang serta Kampung Medan, Telok Panglima Garang di sini terjejas akibat ribut dan kejadian puting beliung kelmarin.
Sekolah terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Rendah Agama (SRA) dan SK Kampung Medan serta SK Jalan Tanjung.
Turut rosak teruk dalam kejadian itu ialah 40 buah rumah dan sebuah dewan orang ramai.
Bencana itu turut menyebabkan 11 murid SRA Kampung Medan cedera ringan, seorang lelaki cedera di mata dan seorang wanita patah kaki akibat dihempap besi.
Saksi menyifatkan keadaan sekolah seperti medan perang dengan angin pusar kelihatan dua kali keluar masuk dalam sekolah.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari pula menyifatkan kejadian angin kencang dan puting beliung yang melanda Meru, Klang dan Sijangkang, Kuala Langat sejak Selasa sebagai kejadian ribut paling buruk pernah melanda negeri ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, empat sekolah terlibat di bawah kelolaannya akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam tempoh terdekat bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah.
KPM turut memaklumkan kerja pembersihan dan penilaian kerosakan sedang berjalan di semua sekolah terjejas.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati, tiada pelajar yang hadir, sebaliknya kelima-lima sekolah tersebut dikawal oleh anggota Rela, polis dan pengawal keselamatan.
Ini kerana, keadaan di sekolah berkenaan, termasuk hampir kesemua kelas dan kemudahan lain seperti kantin serta padang berada dalam keadaan tidak selamat bagi pengoperasian sekolah setiap hari.
Antara kerosakan yang dikesan berlaku kebanyakannya melibatkan kemusnahan bumbung di hampir semua blok termasuk kantin selain kerosakan pada perabot sekolah seperti meja serta kerusi pelajar dan guru.
SK Kampung Medan mengalami kerosakan paling teruk kerana selain bumbung runtuh, terdapat sisa-sisa runtuhan seperti batu dan kaca bertebaran di tapak dataran, kelas, kantin dan padang.
Seorang pentadbir sebuah sekolah di situ berkata, sesi persekolahan akan ditutup sehingga kerja baik pulih selesai, sementara para pelajar pula akan menjalani pembelajaran secara PDPR.
“Berapa lama sekolah ini ditutup, itu saya tidak pasti. Apabila pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) benarkan kami masuk bersekolah, baru kami beroperasi semula,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, beliau akan membawa implikasi bencana itu ke dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi mengesahkan jumlah penduduk dan rumah yang terjejas serta kerugian sebenar dihadapi penduduk.
“Ini peristiwa yang terbesar dalam tempoh tiga atau empat tahun, yang paling kuat. Ada suatu waktu di Sabak Bernam, di bendang dan sebagainya tetapi banyak melibatkan kawasan kampung,” katanya.
“Tetapi, kali ini impaknya amat besar kerana melibatkan kawasan penempatan penduduk dan sekolah (berkepadatan tinggi),” katanya kepada pemberita. – UTUSAN










