REYKJAVIK: Usaha Perancis untuk mengesahkan tiket lebih awal ke Piala Dunia 2026 tidak kesampaian apabila diikat 2-2 oleh Iceland dalam aksi kelayakan Kumpulan D, semalam.
Bekas juara edisi 2018 itu boleh mengesahkan kemaraan ke kejohanan utama tahun depan di Amerika Utara sekiranya menang di Reykjavik sambil Ukraine gagal menewaskan Azerbaijan.
Namun Ukraine menang 2-1 manakala skuad kendalian Didier Deschamps pula kehilangan mata pertama selepas cemerlang dalam ksi permulaan kelayakan, sebelum ini.
Iceland mendahului pada separuh masa pertama menerusi jaringan Victor Palsson sebelum Christopher Nkunku menyamakan kedudukan dan Jean-Philippe Mateta kemudian meletakkan Perancis di depan pada pertengahan babak kedua.
Bagaimanapun, Kristian Hlynsson segera menyamakan kedudukan untuk memastikan satu mata berharga buat Iceland yang masih berpeluang layak ke pusingan play-off.
Perancis kekal mendahului kumpulan dengan tiga mata di depan Ukraine dan akan mengesahkan status juara kumpulan jika menang di Paris bulan depan.
“Kami sedikit kecewa. Kami mahu menang dan memburu gol ketiga, tetapi kami boleh lakukan lebih baik. Namun, ia tetap satu detik istimewa buat saya menjaringkan gol pertama bagi penampilan sulung dalam kesebelasan utama Perancis,” kata Mateta.
Iceland kini tiga mata di belakang Ukraine dan akan menentang Azerbaijan selepas ini dalam usaha memburu tangga kedua kumpulan.
Perancis tampil tanpa beberapa tonggak utama termasuk Kylian Mbappe yang cedera ketika menentang Azerbaijan Jumaat lalu.
Pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele serta dua lagi pemain Paris Saint-Germain (PSG), Desire Doue dan Bradley Barcola turut diketepikan manakala pemain tengah Real Madrid, Aurelien Tchouameni digantung perlawanan.
Menurut Deschamps, para pemainnya gagal untuk menutup ruang, sekali gus memberi kelebihan kepada tuan rumah untuk menggunakan kesempatan untuk menjaringkan gol.
“Kami menguasai permainan sepenuhnya. Iceland hanya ada dua percubaan tepat dan dua-duanya jadi gol. Tetapi, kami masih dapat satu mata dan bulan depan akan jadi penentu,” kata Deschamps. – AGENSI/UTUSAN










