KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak ke-12 memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir telah ditengking oleh salah seorang ahli kumpulan Circle 19.
Bagaimanapun, pada ketika itu saksi yang juga ahli kumpulan sama tidak lagi berada di dorm A3-6 dan hanya mengetahui perkara itu selepas diberitahu oleh rakan yang lain.
Dorm A3-6 merupakan bilik soal siasat dilakukan terhadap Zara Qairina oleh beberapa senior. Zara Qairina duduk di dorm A3-5.
Pada prosiding hari ini, dua saksi kanak-kanak yang memberi keterangan adalah pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha dan tinggal di blok sama dengan Zara Qairina iaitu, Blok A, Rabiatul Adawiyah.
Sebelum meninggalkan Zara Qairina di dorm A3-6, saksi itu memberitahu dia ada meminta remaja terbabit untuk bercakap benar.
“Saksi ada bertanya kepada Zara Qairina berhubung dompet yang hilang dan lencana bendera yang ditemui dalam beg galas remaja terbabit.
“Saksi ada tanya, Zara, kau jujur jak, betulkah kau ambil benda tu? namun Zara menidakkan perkara itu.
“Saksi kemudian keluar dari dorm terbabit dan pergi ke dorm A3-7 untuk tidur. Dia juga tidak tahu apa berlaku selepas dia keluar dari dorm itu (A3-6),”kata peguam, Azhier Farhan Arisin ketika ditemui media selepas tamat prosiding inkues yang memasuki hari ke-22 hari ini.
Terdahulu, saksi kanak-kanak ke-12 memberitahu, sebagai senior, mereka berperanan untuk menjaga keselamatan junior, memastikan mereka (junior) menjaga kebersihan bilik, barangan peribadi dan tandas.
Bagaimanapun, jelasnya, para senior tidak diberikan ‘mandat’ oleh sekolah untuk mencari dan menghukum mana-mana pesalah di asrama.
Tambahnya, ketika diberitahu mengenai dakwaan Zara Qairina disyaki mencuri, saksi itu tidak pernah membuat siasatan atau memberitahu kepada mana-mana guru sekolah itu.
Sementara itu, peguam Shahlan Jufri memberitahu, saksi kanak-kanak ke-13 memberitahu, dia dan seorang lagi pelajar senior telah diminta oleh seorang pelajar untuk “menyelesaikan kes melibatkan Zara”.
Saksi mengesahkan bahawa dia dan beberapa rakannya telah menyoal Zara Qairina mengenai kes kecurian yang berlaku.
Saksi menjelaskan mereka bergilir-gilir menyoal Zara dan saksi sendiri ada bertanya kepada Zara ”Adakah kamu ada mencuri? Kalau ada kamu cakap iya saja”.
Bagaimanapun, Zara tidak menjawab soalan mereka dan hanya mendiamkan diri.
Disebabkan Zara Qairina hanya berdiam diri, remaja terbabit kemudiannya telah dibiarkan balik ke bilik dormnya (A3-5).
Selain itu, saksi memberitahu dia melihat sendiri Zara Qairina balik ke dormnya sebelum dia sendiri meninggalkan dorm A3-6 untuk ke biliknya sendiri.
Tanbahnya, sekitar pukul 4 pagi, 16 Julai lalu, dia dikejutkan oleh rakannya yang kemudian memberitahu ‘ada orang jatuh asrama’.
Dia kemudian keluar untuk melihat dan nampak Zara Qairina terlentang dan tidak sedarkan diri.
Keadaan di asrama pada ketika itu juga agak kecoh.
Pada prosiding hari ini juga, saksi-saksi menjelaskan bahawa Circle 19 hanyalah kumpulan pelajar yang berkawan baik sejak Tingkatan Satu.
Mereka turut memberitahu bahawa mereka juga pernah dibuli oleh senior ketika di Tingkatan Satu selain sering dimarahi dengan kata-kata kesat.
Saksi juga menyatakan ahli kumpulan Circle 19 tidak pernah terkecuali daripada dikenakan tindakan oleh guru sekolah dan ada di antara mereka yang pernah dipanggil guru disiplin atau guru kaunseling atas salah laku kerana kedapatan membawa handphone di asrama pada sekitar bulan Jun dan Julai lalu.
Selain ‘budaya’ menggunakan kata-kata kesat, saksi kanak-kanak ke-13 turut memberitahu, sewaktu dia di Tingkatan Satu di sekolah sama, terdapat ‘trend’ toreh tangan menggunakan pisau pemotong (cutter).
Tambahnya, dia sendiri pernah terikut-ikut buat ‘barkod’ di lengan sebanyak tiga kali yang mana kali terakhir saksi berbuat demikian ialah ketika di Tingkatan 2.
Inkues yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan akan bersambung esok. – UTUSAN









