PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkukuh penerapan nilai moral dan etika dalam keseluruhan sistem pendidikan negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pendidikan tidak seharusnya dilihat sebagai dua sistem berasingan antara peringkat sekolah dan universiti, sebaliknya merupakan satu proses berterusan untuk melahirkan insan holistik yang memiliki keseimbangan ilmu dan akhlak.
“Kita terbuka untuk bekerjasama kerana pendidikan di Malaysia tidak boleh dipisahkan.
“Mesti ada kesinambungan antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu 2025, di sini hari ini.
Menurut Zambry, kurikulum pengajian tinggi ketika ini sudah pun menekankan penerapan nilai menerusi Modul Pengajian Umum (MPU) yang sedang melalui proses reformasi sejak setahun lalu di bawah bimbingan sarjana terkenal, Profesor Datuk Dr. Osman Bakar dan Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.
Beliau berkata, kerangka baharu itu memberi penekanan terhadap pembinaan negara, tamadun serta pembentukan nilai, selain disusun selaras dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pendidikan di semua peringkat berasaskan kekuatan moral dan sahsiah.
“Walaupun modul nilai ini sudah ada di peringkat universiti, Perdana Menteri telah mengarahkan supaya kandungannya turut dikongsi dengan Kementerian Pendidikan supaya nilai asas itu dapat diterapkan sejak peringkat awal persekolahan,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua kementerian kini turut meneliti semula dasar pendidikan masing-masing bagi memastikan elemen pembangunan nilai kekal menjadi teras utama dalam proses pembelajaran.
“Di peringkat pendidikan tinggi, dasar baharu kita akan terus mengukuhkan sistem moral dan etika dalam proses pendidikan. Saya percaya Kementerian Pendidikan juga bergerak ke arah yang sama,” ujarnya.
Modul Pengajian Umum (MPU) merupakan kursus wajib universiti yang bertujuan membentuk pelajar seimbang dari segi intelektual, rohani, emosi dan sosial.
Ia merangkumi subjek seperti Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Hubungan Etnik, serta Pengajian Malaysia, dan kini sedang disemak semula bagi memasukkan elemen pembinaan karakter, nilai moral serta kefahaman peradaban.
Semalam, Perdana Menteri menegaskan keperluan sistem pendidikan negara memberi tumpuan semula kepada pembentukan nilai moral dan etika, sambil menyifatkan pengabaian aspek tersebut sebagai antara punca kepada kes salah laku membabitkan kanak-kanak yang tular baru-baru ini. – UTUSAN








