Sedia bas percuma sempena Tahun Melawat Johor 2026

Sedia bas percuma sempena Tahun Melawat Johor 2026

ONN Hafiz Ghazi (kanan) bersama maskot Tahun Melawat Johor dalam Majlis Pelancaran Tahun Melawat Johor 2026 di Zoo Johor, Johor Bahru.-UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelancong berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Johor 2026 bakal menikmati perkhidmatan bas percuma yang disediakan khas bagi memudahkan pergerakan mereka ke lokasi tumpuan sekitar bandar raya ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkhidmatan tersebut disediakan sebagai satu usaha pihaknya merancakkan sektor pelancongan tempatan, khususnya ketika pelbagai projek pembinaan sedang giat dijalankan.

Katanya, antara projek yang menjadi tumpuan termasuklah Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru–Singapura.

“Kerja-kerja pembinaan di pusat bandar ini adalah sebahagian daripada pembangunan. Sehubungan itu, kita sediakan bas percuma di kawasan bandar bagi memudahkan pergerakan pelancong.

“Saya lihat kerja-kerja pembinaan itu tidak menjadi kekangan, kita yakin mampu capai sasaran kehadiran 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Johor 2026,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Maskot, Slogan, Lagu dan Video Rasmi Tahun Melawat Johor 2026 di Zoo Johor, di sini, semalam.

Onn Hafiz turut memberitahu pergerakan keluar masuk pelancong antarabangsa turut dijangka lancar dengan penggunaan teknologi sistem kod respons pantas (QR) di kaunter imigresen yang sudah disediakan di pintu sempadan antarabangsa negara.

Sempena Tahun Melawat Johor 2026, dua ekor harimau belang spesies Panthera Tigris yang dilahirkan di Zoo Johor, diberikan nama Cuping dan Jucy telah dipilih sebagai maskot rasmi manakala lagu bertajuk Pesona Johor nyanyian Aina Abdul menjadi lagu rasmi.

Selain itu, slogan ‘Meh Lah Johor!’ diumumkan sebagai slogan rasmi kempen bertujuan mengajak masyarakat luar hadir beramai-ramai ke negeri ini bagi menikmati pelbagai tarikan pelancongan menarik yang disediakan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×