SHAH ALAM: Belum ada rakyat tempatan ditahan terlibat dalam penyalahgunaan dadah baharu jenis Fentanil susulan rampasan besar-besaran bahan terlarang itu pada Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya setakat ini belum menerima laporan berkaitan individu yang menggunakan dadah sintetik itu.
Menurutnya, bagaimanapun polis mendapati sindiket antarabangsa cuba membawa masuk Fentanil menerusi kontena dari luar negara dengan mengisytiharkan barangan sebagai bahan sah.
“Setakat ini, tiada tangkapan baharu dibuat dan belum ada rakyat tempatan dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Kita percaya ia cubaan awal sindiket untuk memperkenalkan fentanyl ke pasaran negara ini,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan cubaan membawa masuk Fentanyl dari negara Timur seberat hampir satu tan dipatahkan menerusi siri serbuan polis di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka pada 19 Ogos lalu.
Dadah itu dipercayai dibawa masuk sindiket antarabangsa menerusi Pelabuhan Klang untuk pasaran negara jiran serta tempatan.
Rampasan besar besar-besaran menerusi Op Black Ash itu membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 31 tahun.
Fentanyl seberat 961.8 kilogram dengan nilai pasaran RM30.7 juta itu merupakan cubaan pertama berjaya dipatahkan di negara ini dan dadah itu berbahaya kerana lebih 100 kali ganda kuat berbanding morfin serta heroin.
Mengulas lanjut, kata Hussein, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket cuba memperkenalkan dadah itu dalam pelbagai bentuk termasuk cecair vape biarpun tiada kes penyalahgunaan dikesan.
“Fentanil merupakan dadah sintetik berbahaya yang telah menyebabkan banyak kematian di luar negara. Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berwaspada terhadap cubaan membawa masuk bahan itu ke negara ini,” jelasnya.
Hussein menambah, permintaan tinggi terhadap dadah di Malaysia dan beberapa negara lain antara punca sindiket pengedaran tidak berputus asa walaupun berdepan tindakan pihak berkuasa.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai rampasan dadah berjaya dilakukan hasil serbuan di seluruh negara.
“Namun, penyeludupan dan pengedaran masih berleluasa dengan kebanyakan bekalan dipercayai diseludup dari negara jiran dan ia berlaku di sempadan sama ada darat atau laut,” ujarnya.
Katanya lagi, pihaknya sentiasa mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa bagi memantau pergerakan sindiket yang menggunakan pelbagai modus operandi termasuk penghantaran kurier. – UTUSAN










