KUALA LUMPUR: Jenama fesyen tempatan, Kapten Batik merancang untuk membuka dua lagi cawangan baharu di lokasi strategik, termasuk PNB 118 di Kuala Lumpur pada tahun hadapan.
Ketua Operasi Kapten Batik, Mohammad Faizal Abu Talib berkata, setakat ini, Kapten Batik mempunyai 10 cawangan fizikal termasuk di lokasi utama seperti The Gardens Mall, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Gurney Paragon, Pulau Pinang.
“Dua daripadanya merupakan kerjasama bersama Isetan. Selebihnya adalah milik penuh Kapten Batik.
“Menjelang 2026, syarikat merancang untuk membuka dua lagi cawangan baharu di lokasi strategik, termasuk PNB 118 di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kapten Batik turut menyatakan hasrat untuk meluaskan sayap ke luar negara dengan Singapura sebagai destinasi antarabangsa pertama yang dijangka direalisasikan seawal tahun hadapan.
“Perbincangan lanjut mengenai lokasi dan bentuk operasi (termasuk kemungkinan sistem francais) sedang berlangsung.
“Kita dalam fasa perbincangan, sasaran jangka masa terdekat ialah Singapura. Selepas itu, mungkin ke Eropah,” jelasnya.
Menurut Mohamed Faizal, Kapten Batik menyasarkan pelanggan dari segmen pertengahan hingga mewah dengan julat harga produk bermula sekitar RM179 hingga melebihi RM1,000 bergantung pada rekaan dan jenis fabrik.
“Selain pakaian, Kapten Batik juga menghasilkan aksesori seperti kasut, topi dan barangan kitar semula lain menggunakan lebihan fabrik.
“Strategi ini bukan sahaja menjimatkan sumber, malah memperkukuhkan imej jenama sebagai penyokong ekonomi pekeliling,” katanya.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, Kapten Batik merancang untuk menambah bilangan cawangan tempatan dan antarabangsa, memperkukuh kehadiran di pasaran antarabangsa, memperluas koleksi produk berasaskan bahan lestari.
Baru-baru ini, Kapten Batik, melancarkan pembukaan semula butik mereka di Isetan, KLCC sebagai sebahagian daripada strategi penjenamaan semula dan peluasan pasaran.
Pembukaan semula ini menampilkan konsep terkini yang dikenali sebagai ‘Urban Resort’, satu pendekatan yang menggabungkan elemen eksklusif dengan keselesaan moden untuk pelanggan yang mementingkan gaya hidup lestari.
Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan lokasi baharu, tetapi juga menandakan permulaan kepada era baharu bagi Kapten Batik dengan penekanan kepada fesyen mesra alam.
Antara produk utama yang diperkenalkan termasuk koleksi baharu ‘Polo Shirts’ yang diperbuat daripada material repreve iaitu kain yang dihasilkan daripada botol plastik terpakai selari dengan komitmen jenama terhadap kelestarian alam sekitar.
“Kami bawa konsep Urban Resort untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih eksklusif dan tenang.
“Pada masa sama, kami mahu memperkenalkan koleksi pakaian aktif seperti polo shirts, baju berbasikal, dan seluar daripada bahan lestari,” katanya. – UTUSAN










