KEMAMAN: “Arwah ibu beritahu dia mahu pindah, kami tidak sangka bukan hanya ibu yang ‘pindah’, tetapi kedua-dua ayah dan ibu kami berpindah ke alam lain.”
Demikian kata Rosmaini Aziz, 45, yng merupakan anak lelaki sulung kepada pengusaha satar terkenal di daerah ini, Aziz Satar atau nama sebenarnya, Aziz Awang, 68, yang meninggal dunia bersama isterinya, Hasnah Mat Nong, 64, selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 162.9 Lebuhraya Pantai Timur berhampiran Maran, di Pahang, malam kelmarin.
Rosmaini berkata, dia dan adik beradiknya tidak menyangka hasrat ibunya yang berulang kali memberitahu mahu ‘berpindah’ menjadi petunjuk pemergiannya dan bapa mereka.
“Ibu tak beritahu dia mahu pindah ke mana namun dia berulang kali beritahu adik beradik saya, dia mahu pindah pada minggu lalu.
“Ibu juga biasanya tidak suka berjalan-jalan, namun ibu nampak bersunguh-sungguh mahu ke Cameron Highlands. Kami beritahu supaya pergi minggu depan bersama anak-anak, namun ibu tetap mahu pergi. Kami mengalah dan tidak terlalu bimbang kerana ayah biasa memandu jarak jauh,” katanya.
Anak sulung daripada 11 adik beradik itu berkata, bapa dan ibunya sempat singgah di kedai satar yang diusahakannya di Kampung Geliga, di sini, sebelum bertolak ke Cameron Highlands, bersama tiga pekerja dan seorang anak pekerja mereka, Rabu lalu.
“Sebelum mereka bertolak, saya beritahu ayah mahu menyertai karnival jualan di Kuala Terengganu dua minggu lagi.
“Ayah beritahu, ‘pergilah, jaga nama baik Aziz Satar’, berniaga laku atau tidak, itu rezeki Allah tentukan, janji jaga nama baik Aziz Satar’,” katanya.
Rosmaini berkata, bapanya mengusahakan perniagaan satar lebih 30 tahun lalu dan kini mempunyai tujuh cawangan di daerah ini masing-masing diusahakan adik- beradiknya.
“Seramai 10 adik beradik saya mengusahakan perniagaan satar dan keropok, cuma seorang sahaja adik saya bekerja bidang lain.
“Insya-Allah, kami kekalkan legasi perniagaan ayah dan kami terus kembangkan lagi perniagaan ini,” katanya.-UTUSAN.











