PETALING JAYA: Peruntukan sebanyak RM20 juta bagi Program Agroprenuer Muda Next-Gen yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 semalam merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan dan potensi golongan usahawan belia tani dalam memperkukuh sektor pertanian negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, sejak 2020 hingga 2024, kementeriannya telah menyalurkan RM84 juta menerusi Geran Agreprenuer Muda yang memberi manfaat kepada 4,217 penerima di seluruh negara.
Katanya, statistik menunjukkan penglibatan belia dalam sektor pertanian semakin meningkat setiap tahun hasil pelaksanaan program bantuan tersebut.
“Jumlah penerima Geran Agreprenuer Muda meningkat sebanyak lapan peratus daripada 704 penerima pada 2022 kepada 758 penerima pada 2023.
“Bagi tahun 2024 pula, jumlah itu meningkat lagi sebanyak lapan peratus kepada 815 penerima, menjadikannya yang tertinggi sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dengan nilai keseluruhan RM17.52 juta,” katanya.
Beliau berucap pada Sesi Townhall bersempena Seminar Food Future Industri Asas Tani 2025 @ Sabah anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan tambahan RM20 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi memperluas peluang keusahawanan belia tani.
“Dengan peningkatan peruntukan ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan lebih ramai golongan usahawan belia tani mendapat manfaat pada tahun hadapan. Ini bukti jelas kerajaan terus komited memperkukuh sektor pertanian melalui generasi muda,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran seminar berkenaan menjadi platform penting menghimpunkan usahawan daripada pelbagai segmen industri untuk mengenal pasti potensi, kekuatan dan keperluan mereka dalam menembusi pasaran arus perdana khususnya melalui kerjasama dengan pasar raya dan pengedar besar.
Katanya, inisiatif itu membantu usahawan memahami kehendak pasaran semasa dari segi kualiti produk, pembungkusan, pensijilan dan logistik selain memperluas akses pemasaran ke platform pasar raya, kedai runcit moden dan e-dagang.
Seminar itu menghimpunkan lebih 400 usahawan belia dan beliawanis dari kawasan pedalaman Sabah sekali gus membuktikan minat golongan muda terhadap sektor pertanian semakin meningkat. – UTUSAN










