KUALA LUMPUR: Selangor komited memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab pelaburan mampan, teknologi hijau dan inovasi industri baharu menerusi beberapa Perjanjian Strategik dan Memorandum Persefahaman (MoU) baharu.
Perjanjian Strategik dan MoU tersebut dimeterai sempena Ekspo Pelaburan dan Taman Industri Selangor ke-5 (SPARK) 2025 bersempena penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Pemeteraian kesemua MoU disaksikan oleh EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.
Antara yang dimeterai termasuk Perjanjian Strategik antara Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Kumpulan NCT Land, bagi melaksanakan inisiatif strategik yang bukan sahaja akan memperkukuh pembangunan, tetapi turut memupuk pertumbuhan mampan, inovasi dan peluang ekonomi di kawasan tersebut.
Perjanjian Strategik tersebut dimeterai oleh Group Executive Director NCT Group, Datuk Joe Yap Fook Choy bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Mohd Hasry Nor Mohd.
Worldwide Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Worldwide Energy Development Sdn. Bhd., turut menandatangani MoU dengan Ace Gases Sdn. Bhd. dan SKS Coachbuilders Sdn. Bhd. menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa agenda tenaga hijau negeri.
“MoU ini bukan sekadar satu bentuk kerjasama, tetapi langkah strategik ke arah masa depan tenaga yang lebih hijau, bersih dan mampan.
“Dengan menggabungkan kepakaran dalam tenaga boleh diperbaharui, pembekalan gas industri serta penyelesaian pengangkutan lestari, kerjasama ini bertujuan membangunkan Hab Hidrogen Hijau 2 Megawatt di Batang Kali, mempercepat penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga bersih, serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai perintis utama pembangunan hidrogen di peringkat nasional,” katanya.
Sementara itu, rakan strategik Port Klang Free Zone Sdn Bhd iaitu Q Centre Management Sdn. Bhd. menandatangani MoU dengan Vee Berhad bagi membangunkan Pusat Penempatan Pekerja Berpusat Pintar-AI (CLQ) pertama di Malaysia di Port Klang Free Zone (PKFZ).
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan serta tahap keselamatan penempatan pekerja asing melalui penggunaan teknologi ramalan pintar dan pengecaman wajah berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Di bawah kerjasama tersebut, Vee Berhad akan membekal, memasang serta menyelenggara sistem AI pintar dengan jaminan perkhidmatan sekurang-kurangnya lima tahun, manakala Q Centre Management akan mereka bentuk, membina dan mengendalikan CLQ berkenaan dengan mengintegrasikan teknologi AI bagi mewujudkan kemudahan penempatan pekerja yang lebih pintar dan selamat,” katanya.
Selain itu, Central Spectrum (M) Sdn. Bhd. (CSSB) menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Colform Sdn. Bhd. bagi perolehan tanah perindustrian seluas 2.96 hektar di Taman Perindustrian Pulau Indah, dengan nilai keseluruhan RM25.2 juta.
Cyberview Sdn. Bhd. turut mengukuhkan komitmennya terhadap agenda kelestarian melalui Majlis Menandatangani Ikrar Komitmen Kelestarian bersama empat rakan strategik iaitu Malaysia Forest Fund (MFF), CryoCord Malaysia, Al Azhar Care dan Minimolly Design Lab.
Melalui ikrar tersebut, Cyberview dan rakan strategik ESG bersepakat untuk melaksanakan inisiatif yang berupaya mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, memberi impak sosial yang positif serta memperkukuh amalan tadbir urus korporat secara mampan.- UTUSAN










