Inflasi keseluruhan diunjur hingga 2.0 peratus pada 2026 - Utusan Malaysia

Inflasi keseluruhan diunjur hingga 2.0 peratus pada 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INFLASI keseluruhan diunjur antara 1.3 peratus hingga 2.0 peratus pada 2026 mencerminkan persekitaran pertumbuhan harga yang kekal terkawal, menurut Tinjauan Ekonomi 2026.

Jelasnya, unjuran itu dipengaruhi oleh permintaan domestik yang stabil, keadaan pasaran buruh yang kukuh serta dasar yang menyokong kuasa beli isi rumah dan kestabilan pasaran. 

“Tekanan harga dijangka kekal terkawal disokong oleh penambahbaikan berterusan dalam rantaian bekalan dan produktiviti dengan kos harga pengeluar dipindahkan secara beransur-ansur kepada pengguna. 

‘Secara amnya, risiko terhadap unjuran ini seimbang dengan risiko inflasi yang lebih tinggi mengambil kira pelarasan harga barang kawalan atau peningkatan harga komoditi global. 

“Walau bagaimanapun, nilai ringgit yang stabil, langkah dasar yang berterusan dan sebarang penurunan lanjut dalam harga makanan dan tenaga global dijangka boleh menyederhanakan inflasi,” katanya.

Sementara itu, tinjaun itu menunjukkan kadar inflasi keseluruhan yang diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatat purata 1.4 peratus bagi tempoh lapan bulan pertama 2025, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, kestabilan kos global serta penambahbaikan dasar yang mengekalkan kuasa beli isi rumah.

“Kumpulan makanan dan minuman, yang menyumbang 29.8 peratus daripada bakul IHP, meningkat sebanyak 2.2 peratus dalam tempoh tersebut. 

“Komponen makanan di luar rumah menjadi penyumbang utama dengan kenaikan 4.5 peratus, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap aktiviti menjamu selera di luar dan makanan siap serta pelarasan upah yang berterusan. 

“Peningkatan kos input dan operasi dalam sektor perkhidmatan makanan turut menyumbang kepada kenaikan harga. Sebaliknya, harga makanan di rumah kekal stabil pada kadar 0.1 peratus, mencerminkan perubahan harga minimum bagi makanan segar dan barangan runcit asas,” katanya.

Bagi kategori berasaskan perkhidmatan, kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan merekodkan peningkatan tertinggi iaitu 3.8 peratus, diikuti restoran dan perkhidmatan penginapan sebanyak 3.2 peratus urut memberikan tekanan ke atas inflasi. 

“Kenaikan ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan harga dalam kumpulan maklumat dan komunikasi sebanyak 5.4 peratus serta pakaian dan kasut sebanyak 0.2 peratus.

“Walaupun tekanan harga keseluruhan berkurangan, momentum disinflasi dilihat tidak sekata dengan inflasi semakin tertumpu kepada segmen berasaskan perkhidmatan.

“Peluasan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) serta pelarasan gaji minimum dan harga utiliti pula dijangka memberi kesan kepada inflasi melalui saluran tolakan kos dan tarikan permintaan.

“Namun begitu, inflasi keseluruhan diunjur kekal terkawal dalam julat antara satu hingga dua peratus pada 2025. Risiko kenaikan inflasi tertumpu kepada kemungkinan perubahan harga barang kawalan dan gangguan rantaian bekalan global,” ujarnya.

Tambahnya, risiko inflasi lebih perlahan berpunca daripada penyederhanaan berterusan harga tenaga dan makanan global serta potensi permintaan domestik yang lemah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×