Soalan
Bagaimana untuk berdepan dengan rakan sekerja narsistik? Selalu rasa dirinya betul dan orang lain salah. Bila ditegur melenting dan merasakan orang sekeliling ancaman untuknya.
-Yang penat
Jawapan
Berdepan dengan rakan sekerja narsistik boleh menjadi satu pengalaman yang meletihkan dan mencabar emosi.
Individu seperti ini sering beranggapan diri mereka sentiasa betul, manakala orang lain pula dianggap salah atau kurang berkemampuan.
Apabila ditegur, mereka mudah melenting dan menganggap orang sekeliling sebagai ancaman terhadap imej diri. Berikut beberapa tip untuk mengendalikan rakan narsistik:
a)Bersikap tenang – Elakkan bertengkar atau menunjukkan reaksi emosi apabila berdepan dengan mereka. Kekalkan nada suara yang tenang dan fokus pada isu sebenar, bukan pada peribadi. Dengan bersikap matang, anda dapat mengelakkan konflik menjadi lebih besar dan bersikap lebih professional.
b)Jarakkan pergaulan – Tetapkan sempadan yang jelas dalam hubungan kerja. Jangan biarkan mereka menguasai perbualan atau mempengaruhi keputusan anda. Bersikap tegas dan yakin dengan pendirian sendiri. Menjaga jarak bukan bermaksud bermusuh, tetapi langkah untuk melindungi kesejahteraan emosi anda.
c)Kenali corak pemikiran – Apabila anda mula memahami cara mereka berfikir atau bertindak, maka lebih mudah untuk meramal reaksi mereka serta mengelak daripada terperangkap dalam situasi yang memenatkan.
d)Elakkan perdebatan – Individu narsistik sukar untuk menerima pandangan berbeza dan sering mahu ‘menang’ apabila berhujah. Pilih pertarungan bijak kerana tidak semua isu perlu dijawab. Kadang-kadang, berdiam diri lebih membantu daripada berdebat tanpa hasil.
e)Fokus tujuan – Alihkan perhatian kepada tanggungjawab dan matlamat sebenar. Jangan biarkan sikap mereka menjejaskan prestasi atau semangat anda. Teruskan berkomunikasi secara profesional dan elakkan terlibat dalam gosip tentang mereka.
f)Menjaga kesihatan diri – Selepas berurusan dengan individu sebegini, luangkan masa menenangkan diri seperti berjalan, berzikir, menulis jurnal atau bercakap dengan seseorang yang boleh membantu melepaskan tekanan.
g)Dapatkan sokongan – Jika keadaan semakin menekan, laporkan secara berhemah kepada pihak atasan atau sumber manusia. Pastikan aduan dibuat dengan bukti jelas dan elakkan nada emosi. Sokongan organisasi boleh membantu memastikan suasana kerja kekal harmoni.
Kesimpulannya, jagalah kesihatan mental dan emosi diri.
Kita mungkin tidak mampu mengawal sikap orang lain, namun kita sentiasa boleh mengawal cara kita bertindak balas terhadapnya.










