PETALING JAYA: Rundingan gencatan senjata di Gaza memberi sinar harapan baharu kepada rakyat Palestin selepas berdepan penderitaan dan kemusnahan daripada rejim zionis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan dalam rundingan itu membuka ruang penting untuk menamatkan keganasan dan menyelamatkan nyawa orang tidak berdosa.
“Saya menyambut baik laporan mengenai kemajuan rundingan gencatan senjata di Gaza. Perkembangan ini memberikan sinar harapan selepas berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan yang tidak tertanggung.
“Setiap usaha untuk menamatkan keganasan dan melindungi nyawa orang tidak bersalah mesti dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan keutamaan,” katanya di akaun media sosial miliknya hari ini.
Beliau turut menegaskan, Malaysia akan terus bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menuntut keadilan, maruah dan kenegaraan.
“Saya menggesa semua pihak berkepentingan untuk merebut peluang ini demi mencapai keamanan yang menyeluruh dan berkekalan,” katanya.
Pagi tadi, Hamas mengumumkan bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sambil menghargai usaha bersama Turkiye, Qatar dan Mesir itu.
Hamas mengumumkan bahawa satu perjanjian telah dicapai yang memperuntukkan penghentian peperangan di Gaza, pengunduran pasukan penceroboh, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tahanan. – UTUSAN











