Dari jurutera ke pembuat sos

Dari jurutera ke pembuat sos

Olahan resipi dan sos dibuat dengan teliti untuk memberikan rasa asli.-UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan mudah menukar haluan kerjaya apatah lagi daripada bidang kejuruteraan kepada dunia kulinari.

Namun, bagi Rizwana Bashir Ahmad, 37, segala cabaran diharungi dengan berani demi mencipta sesuatu yang dekat di hatinya iaitu rasa masakan rumah yang asli dan boleh dikongsi bersama orang lain.

Berbekalkan pengalaman di United Kingdom (UK) dan resipi warisan keluarga, dia meneroka dunia keusahawanan makanan dengan pendekatan berbeza.

Memuatkan artikel berkaitan…

Konsepnya membolehkan pelanggan ‘menjadi cef’ untuk menentukan sendiri bahan dalam hidangan dan daripada situlah tercetusnya jenama Eg’s Wok, sebuah restoran yang menggabungkan fleksibiliti, rasa asli Asia dan identiti keluarga.

“Saya memang mencari makanan yang ada rasa Malaysia semasa di UK dan susah hendak jumpa yang betul-betul asli. Waktu itu, saya terjumpa restoran Wok to Walk dan saya tertarik dengan konsepnya yang beri kebebasan kepada pelanggan untuk pilih sendiri bahan dalam masakan. Daripada situlah idea Eg’s Wok tercetus,” katanya.

Rizwana atau lebih mesra dipanggil Eg, merupakan bekas pelajar Diploma Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Cardiff, UK dalam bidang Sains bagi ijazah sarjana muda dan sarjana.

Selepas beberapa tahun menetap di sana dan berkahwin, wanita ini kembali ke Malaysia.

Kepulangannya beliau membuka lembaran baharu dalam hidup, apabila memilih untuk terlibat dalam perniagaan keluarga yang telah hampir 40 tahun mengusahakan produk makanan sejuk beku halal.

“Saya cuba mohon kerja dalam bidang kejuruteraan awam, tetapi tidak berjaya. Ibu akhirnya suruh ambil alih bahagian pembuatan dalam syarikat.

“Daripada situlah saya belajar tentang pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan mula berminat hasilkan sos sendiri,” katanya.

Minat Rizwana terhadap makanan sebenarnya telah lama bercambah sejak kecil lagi apabila sering membantu ibunya di dapur, pengalamannya memotong bawang, memasak dan memerhati cara masakan ibunya menjadi asas utamanya dalam mencipta sos terbaik.

Outlet pertama Eg’s Wok dibuka di Damansara Utama, namun ditutup selepas dua tahun akibat lokasi yang kurang strategik.

Namun, itu bukan titik noktah sebaliknya, tempoh itu digunakan untuk memperkukuh produk dan melakukan penyelidikan serta pembangunan sos secara mendalam.

“Saya perbaiki resipi sos yang lama dan cipta yang baharu. Proses R&D memang mengambil masa yang lama dan sangat mahal. Tetapi, saya pastikan ia capai rasa yang terbaik sebelum memulakan jualan,” ujarnya.

Eg’s Wok juga menawarkan pelbagai jenis sos yang unik, termasuk yang berasaskan cili habanero diinspirasikan dari pengalamannya di UK.

“Nasi lemak kami pun ada kelainan sambal gabungan dua jenis cili kering biasa dan cili habanero. Rasa dia memang lain,” katanya.

Inspirasi utama Rizwana adalah masakan ibunya, malah segala memori rasa itu diterjemah semula dengan cara baharu.

“Mee Hoon Goreng Kampung yang diinspirasikan daripada nasi goreng kampung misalnya, menjadi antara menu kegemaran pelanggan.

“Saya suka tengok ibu masak. Dia suka letak macam-macam sos, saya belajar daripada situ dan buat sendiri resipi,” jelasnya.

SOKONGAN KELUARGA

Konsep fleksibiliti yang membolehkan pelanggan bebas memilih bahan dan kombinasi makanan mengikut cita rasa sendiri menjadikan restorannya kian mendapat sambutan.

“Macam masak di rumah.Boleh pilih bahan-bahan yang disukai, malah sandwich pun boleh buat sendiri. Sekarang kami juga perkenalkan rice bowl, nasi putih dengan telur goreng dan kuah yang pelanggan boleh pilih sendiri,” katanya.

Begitupun, kata Rizwana, kejayaan yang dikecapi hasil sokongan keluarga.

“Adik-beradik yang lain jaga bahagian media sosial dan dekorasi restoran sementara saya fokus pembangunan resipi.

“Ini usaha keras kami sekeluarga sementelah kami semua memang dibesarkan dalam suasana perniagaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini