Hidup berubah selepas nahas, kini anak penoreh jejak impian di UPM

Hidup berubah selepas nahas, kini anak penoreh jejak impian di UPM

Kuiek Siew Nie (kanan) bersama ibu dan bapanya menyiapkan barangan keperluan di asrama selepas mendaftar sebagai pelajar baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya sewaktu di Tingkatan 5 tidak mematahkan semangat seorang anak penoreh getah untuk meneruskan impian menjejakkan kaki ke menara gading apabila akhirnya berjaya melangkah ke Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pelajar berkenaan, Kuiek Siew Nie, 19, berkata, dia merupakan anak kepada seorang penoreh getah dari Gua Musang, Kelantan, mengakui kehidupannya berubah sekelip mata selepas terbabit dalam kemalangan dua tahun lalu yang hampir meragut nyawa, namun semangat juang serta sokongan keluarga menjadi kekuatan utama untuknya kembali bangkit menempuh cabaran.

“Kejadian itu merupakan detik paling sukar dalam hidupnya, namun kata-kata semangat daripada keluarga membuatkan beliau terus berusaha menamatkan pelajaran dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun masih dalam tempoh pemulihan.

“Keluarga saya sanggup berkorban demi menjaga saya. Mereka selalu mengingatkan bahawa kekurangan tidak pernah menghalang seseorang untuk berjaya. Kata-kata itu yang membuatkan saya kuat dan bersemangat semula,” katanya ketika pendaftaran pelajar baharu di UPM.

Menurutnya pengorbanan ayahnya yang bekerja sebagai penoreh getah dan doa ibunya yang tidak pernah putus menjadi pendorong utama untuknya menamatkan persekolahan dengan baik sebelum diterima menyambung pengajian di peringkat universiti.

Kisah ketabahannya turut menarik perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir yang menyampaikan ucapan tahniah menerusi panggilan video sebelum sesi pendaftaran pelajar baharu UPM bagi sesi akademik 2025/2026 bermula.

Dalam majlis itu, beliau turut menerima sumbangan bantuan awal pengajian daripada Yayasan Perkasa Siswa selain bantuan tambahan daripada pihak universiti bagi meringankan persediaan awal pengajian.

Kini, pelajar program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) itu berazam untuk membuktikan bahawa kekurangan fizikal tidak menjadi halangan untuk cemerlang, malah bercita-cita untuk bergelar pegawai pemasaran atau pegawai bank selepas menamatkan pengajian.

“Setiap orang mempunyai ujian berbeza. Jadikan cabaran sebagai kekuatan, kerana kesusahan hari ini boleh bertukar menjadi kejayaan esok,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×