Bank Dunia semak semula unjuran ekonomi Malaysia kepada 4.1 - Utusan Malaysia

Bank Dunia semak semula unjuran ekonomi Malaysia kepada 4.1

KETUA Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Apurva Sanghi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Dunia menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.1 peratus bagi tahun ini berbanding 3.9 peratus yang diumumkan pada April lalu, didorong oleh ketahanan asas ekonomi negara yang kukuh.

Unjuran terkini Bank Dunia itu adalah lebih tinggi berbanding semakan yang dibuatnya pada April lalu sebanyak 3.9 peratus.

Unjuran terkini itu juga dilihat sejajar dengan julat unjuran rasmi antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus bagi keseluruhan tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata, 2025 dianggap tahun ‘ketahanan’, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, kedudukan luaran yang stabil serta kadar inflasi yang kekal rendah meskipun tekanan harga meningkat.

Katanya, walaupun eksport mula perlahan, sektor elektrik dan elektronik (E&E) masih mencatat pertumbuhan positif dan menjadi penyumbang utama kepada prestasi eksport negara.

“Dari segi permintaan dalam negeri, katanya, perbelanjaan swasta kekal kukuh hasil peningkatan pendapatan boleh guna dan langkah sokongan kerajaan seperti pemindahan tunai universal serta kenaikan gaji sektor awam.

“Dasar monetari yang longgar turut menggalakkan perbelanjaan pengguna dalam sektor automotif, perumahan dan barangan tahan lama,” katanya dalam sidang akhbar Kemas kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) dan Bahagian Satu Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) Oktober 2025 di sini semalam.

Menurutnya, Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025 dan kekal mantap dengan inflasi yang terkawal, pasaran buruh stabil dan kedudukan luaran terus kukuh. 

Mengenai jangkaan ekonomi Malaysia bagi 2026 pula, Apurva berkata, Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan kekal pada 4.1 peratus, menandakannya sebagai tahun berhati-hati dengan momentum perlahan di tengah ketidaktentuan global dan risiko tarif baharu Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, Malaysia, sebagai ekonomi terbuka, dijangka terkesan dengan kelembapan pertumbuhan di AS dan China, sebagai dua rakan dagang utama.

“Satu mata peratusan penurunan pertumbuhan di AS boleh menurunkan pertumbuhan Malaysia sebanyak 0.8 mata peratusan manakala penurunan satu mata peratusan di China memberi kesan 0.45 mata peratusan,” katanya.

Beliau berkata, selain faktor luaran, terdapat juga beberapa faktor dalaman yang dijangka menyederhanakan pertumbuhan tahun depan, antaranya melibatkan prestasi eksport dan permintaan domestik.

“Risiko tarif baharu terhadap eksport Malaysia ke AS, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), boleh menghakis daya saing.

“Hampir 60 peratus barangan Malaysia yang dieksport ke AS kini berdepan saingan daripada negara dengan kadar tarif lebih rendah, sementara peraturan asal usul yang belum dimuktamadkan menambah ketidakpastian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×