PORT DICKSON: “Saya rasa sekelip mata sahaja berlaku, saya tak sempat cari Yusuf, kebakaran terlalu cepat”
Demikian menurut Marlia Junaidi, 36, ibu kepada kanak-kanak lelaki yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Telok Pelanduk dekat sini semalam.
Menurutnya, ketika kejadian, dia baru selesai memasak dan anaknya itu, Yusuf Khalish Azidie Fadzly, 3, ada memberitahu tidak habis menjamah mi hun yang disediakannya.
“Selepas itu, dia terus ke bilik kedua dan saya terus ke dapur. Tidak lama kemudian, anak sulung saya menjerit ada api di ruang tamu dan menjerit supaya semua keluar. Saya sempat menggunakan tuala basah untuk memadamkan kebakaran namun api marak dengan cepat dan apabila tiba di luar saya tidak nampak kelibat Yusuf,” katanya ketika ditemui di rumah jirannya di kampung yang sama semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.51 pagi dan tiba di tempat kejadian sembilan minit kemudian.
“Apabila sampai pihak bomba mendapati kebakaran sudah mencapai 80 peratus dan kami cuba memadamkan api berkenaan pada masa yang sama turut menjalankan penyelamatan mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.
“Bagaimanapun, selepas masuk ke bilik kedua iaitu di ruang tengah kami menjumpai seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang sudah meninggal dunia dalam timbunan pakaian di tepi sebuah katil,” katanya.
Marlia yang merupakan seorang peniaga memberitahu, dia berasa sedih kerana anaknya itu tidak menyahut ketika dipanggil beberapa kali semasa kebakaran berlaku.
“Saya pelik kerana dia tidak menyahut langsung ketika kami panggil dia. Abang dia sudah lari dan keluar dari rumah ketika kejadian,” katanya lagi.
Tambahnya, dia juga sedih kerana ketika kejadian Yusuf Khalish memakai pakaian adiwira, Spiderman yang digemari anak bungsunya itu.
“Yusuf beritahu saya dia hendak memakai baju itu dan tidak sangka hari ini dia ‘pergi’ dengan pakaian itu.
“Walaupun sedih, saya reda kerana jasadnya sempurna dan hanya terdapat sedikit kecederaan sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE










