SEKITAR tahun 80-an hingga 90-an, kereta Mercedes-Benz W126 merupakan antara kenderaan mewah yang menjadi pilihan golongan pemimpin, ahli perniagaan dan keluarga diraja di seluruh dunia.
Selain reka bentuk elegan, kereta ini sinonim dengan ketahanan, keselesaan kabin dan ciri keselamatan canggih di zamannya.
Tidak hairanlah ia kekal sebagai simbol kemewahan dan prestij hingga kini.
Walaupun usianya mencecah lima dekad, namun model klasik W126 ini tidak lapuk dek zaman dan masih digemari ramai.
Keunikan tersebut mendorong Kelab Mercedes-Benz W126 Malaysia menganjurkan program Jelajah Kembara Borneo bagi menghimpunkan pemiliknya dari seluruh negara.
Penasihatnya, Datuk Mohamed Aslam Seraja Din, 67, berkata, konvoi selama dua minggu itu bermula di Kuching, Sarawak pada 30 Ogos lalu dan berakhir di Tawau, Sabah pada 13 September.
Perjalanan sejauh kira-kira 4,500 kilometer itu melibatkan seramai enam ahli di samping keluarga masing-masing.
Katanya, ini merupakan kembara pertama peserta membawa kereta klasik tersebut merentas Malaysia Timur serta negara jiran Brunei dan Indonesia.
Sebelum ini, aktiviti konvoi sudah kerap kali diadakan di Semenanjung sejak penubuhan kelab berkenaan pada 2017.
“Program jelajah ini bukan sekadar untuk suka-suka kerana kami membawa mesej besar untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti peminat kereta klasik di Borneo.
“Dalam masa sama, kami mahu membuktikan kehebatan sedan klasik ini dalam menempuh pelbagai cabaran pemanduan di sana,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Peluang ke sana dimanfaatkan untuk bertemu peminat kereta klasik di Sambas dan Singkawan, Indonesia.
Seterusnya, perjalanan diteruskan ke Brunei dan ketibaan mereka disambut oleh Yang Dipertua Kelab Sahabat Mercedes Benz Darussalam (SMBD), Pengeran Anak Haji Ahmad Rapae Pengeran Anak Hanafiah.
Menariknya, mereka turut menaiki feri untuk ke Labuan sebelum ke Kota Kinabalu, Kudat, Kundasang, Sandakan, Semporna dan Tawau.
“Malah, kami sempat menyampaikan sumbangan kepada sekolah tahfiz di Lahad Datu selain beramah mesra dengan penduduk setempat dan peminat kereta klasik di beberapa lokasi di Borneo.
“Kami juga teruja kerana peminat kereta klasik dari Brunei meluahkan hasrat untuk berkonvoi di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Berhabis RM15,000 baik pulih enjin
Dalam kembara itu, Mohamed Aslam membawa kereta berusia 38 tahun yang dibeli dengan harga RM20,000, pada 2019.
Pemilik syarikat keselamatan di Seremban ini sanggup berbelanja hampir RM15,000 bagi membaik pulih enjin model W126 itu di samping mengganti tayar dan rim.
Selain itu, dia turut memiliki empat lagi kereta klasik keluaran sama iaitu W140, W210, C 124 dan C 124 CE.
“Minat pada Mercedes-Benz bermula sejak 1997 lagi dan sudah banyak wang yang dilaburkan agar ia nampak baharu.
“Daripada segi penjagaannya pula mudah sahaja iaitu kena selalu dipandu dan kalau terbiar sahaja tanpa digunakan, lebih cepat kereta rosak,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Aslam sentiasa memastikan kelima-lima keretanya dihidupkan enjin setiap pagi serta digunakan secara bergilir-gilir.
Realisasi impian ketika kecil
Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Mercedes-Benz W126 Malaysia, Mohamad Samsuri, 45, berkata, memiliki kereta klasik mewah itu merupakan impian setiap 60 ahlinya.
Apatah lagi, ia menggambarkan status tertentu di era 80-an apabila hanya golongan berada dan berjaya sahaja yang mampu memandunya.
“Zaman itu, kereta ini sangat rare dan menjadi pilihan dalam kalangan wakil rakyat dan kerabat diraja.
“Saya yang masih di bangku sekolah pun memasang impian mahu memiliki kereta klasik ini suatu hari nanti.
“Impian lebih 30 hingga 40 tahun kebanyakan ahli itu seolah-olah direalisasikan ketika kembara di Borneo ini,” katanya.
Katanya, tarikan kereta klasik tersebut turut mencuri perhatian penduduk di Indonesia yang berminat mengetahuinya dengan mendalam.
Situasi itu berlaku ketika mengisi minyak dan seorang lelaki teruja melihat model W126 yang agak panjang serta besar.
“Kemudian, saya terangkan inilah ciri-ciri W126 yang menjadikan pemanduannya lebih selesa walaupun membabitkan jarak jauh,” katanya.
Ahli termuda, Omar Makhtar Bharun, 37, berkata, pengalaman menyertai kembara tersebut merupakan pengalaman paling manisnya sepanjang terlibat dalam hobi mengumpul kereta klasik.
Pemilik perniagaan kenderaan itu mengakui sudah terdedah dengan kereta klasik berkenaan kerana sering menemani bapanya berkonvoi di dalam dan luar negara.
“Saya gelarkan kereta ini perahu panjang dan apabila dapat lesen, saya terus pandu kereta ini dari Kelantan ke Kuala Lumpur.
“Pemandangan di Borneo memang cantik lebih-lebih lagi dengan keramahan masyarakat di sana,” katanya.
Pamer budaya muhibah
Seorang ahli kelab, Lim Khim Weng, 67, menyertai kembara Borneo itu dengan ditemani abang iparnya.
Katanya, platform itu dimanfaatkkan untuk mempamerkan budaya muhibah dan perpaduan yang sinonim dengan rakyat Malaysia.
“Dua minggu bersama, kami ibarat sebuah keluarga besar. Bukan hanya berkongsi hobi sama, malah kami juga berkongsi minat dan cita rasa pada makanan pelbagai kaum di negara ini termasuk di Sabah serta Sarawak,” katanya.
Dia yang berjinak-jinak dengan kereta klasik sejak lebih lima tahun lalu berkata, ukhuwah yang terjalin itu bertambah kukuh apabila mereka sering bertukar pendapat serta pandangan bagi memastikan kereta klasik masing-masing kekal dalam keadaan baik.
“Kami tidak pernah berkira jika mahu membaiki, menaik taraf dan menyelenggara kereta klasik ini.
“Dalam masa sama, kami dapat berkongsi keistimewaan kereta klasik ini dengan penduduk setempat yang tidak melepaskan peluang bergambar di sepanjang lokasi kembara,” katanya.-UTUSAN









