Taufan Matmo landa pantai selatan China, ratusan ribu dipindahkan

Taufan Matmo landa pantai selatan China, ratusan ribu dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Ratusan ribu penduduk dipindahkan dari kediaman mereka apabila Taufan Matmo melanda pantai selatan China pada Ahad, lapor media rasmi negara itu.

Ribut kuat itu mendarat sekitar pukul 2:50 petang waktu tempatan) di wilayah Guangdong, menurut penyiar negara CCTV.

Pusat Meteorologi Kebangsaan China melaporkan kelajuan angin melebihi 150 kilometer sejam.

Ketika ribut menghampiri, pihak berkuasa memindahkan 197,000 orang dari rumah mereka di Pulau Hainan dan 150,000 lagi dari wilayah Guangdong.

Perkhidmatan pengangkutan awam, tapak pembinaan dan premis perniagaan turut ditutup di beberapa bandar pesisir termasuk Haikou, Wenchang, Zhanjiang dan Maoming.

Bandar Beihai di selatan wilayah Guangxi turut mengumumkan penggantungan kerja, kelas dan perkhidmatan pengangkutan pada Ahad.

Menurut CCTV, paras air laut di pelabuhan Maoming meningkat sejak pagi Ahad, menimbulkan risiko banjir serius.

Pusat meteorologi menjangka kuasa taufan akan berkurangan secara beransur-ansur selepas mendarat, namun hujan lebat dan angin kencang dijangka berterusan hingga Isnin di Hainan, Guangdong dan sebahagian Guangxi.

Wilayah Hainan yang turut berada di laluan taufan membatalkan penerbangan, menggantung pengangkutan awam dan menutup perniagaan bermula Sabtu sebagai persediaan menghadapi ribut.

Meskipun Macau tidak berada dalam laluan taufan, ia mengumumkan kelas dan sesi tuisyen dibatalkan akibat keadaan cuaca buruk.

Pihak berkuasa cuaca mengeluarkan amaran taufan tahap tertinggi dalam sistem mereka, dan memberi amaran hujan lebat, dengan beberapa kawasan menerima antara 100 hingga 249 milimeter hujan.

Taufan itu kemudian dijangka bergerak ke arah barat dan utara, menuju Vietnam serta wilayah Yunnan di China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×