PETALING JAYA: Malaysia tidak bersetuju dengan sebahagian besar daripada pelan damai dibentangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang disifatkan tidak sempurna.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan Malaysia ketika ini adalah untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang masih menghadapi kezaliman tidak berkesudahan.
“Kita boleh terus berpolemik dan berpencak lidah di sini, tetapi hakikatnya yang merana ialah puluhan ribu nyawa yang sudah terkorban di Gaza.
“Tanggungjawab kita adalah menghentikan kezaliman Zionis, memastikan bantuan makanan dan minuman sampai, serta menyalakan harapan buat mereka yang masih bertahan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, walaupun pelan Trump dilihat seperti mendapat restu negara-negara Arab dan dunia Islam namun ia tidak menandakan pelan itu dipersetujui sepenuhnya.
Sebaliknya, katanya, ia adalah langkah bersama untuk menghentikan pertumpahan darah, menolak pengusiran dan memberi peluang rakyat Gaza kembali ke tanah air mereka.
“Malaysia akan berdiri teguh bersama Gaza, terus memantau, terus bersuara dan terus membongkar kemunafikan Zionis agar nyawa dan maruah yang tersisa tetap dipertahankan,” katanya.
Pada 29 September lalu, Trump mengemukakan satu pelan damai untuk Gaza sebagai versi baharu daripada cadangan-cadangan sedia ada untuk menamatkan konflik berkenaan.
Pelan itu telah ditulis semula oleh penasihat utama, Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner (bekas utusan khas Presiden ke Timur Tengah) agar lebih dapat diterima oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Terbaharu, Trump menggesa Israel menghentikan segera serangan udara di Gaza selepas Hamas menyatakan kesediaan menerima sebahagian syarat dalam pelan damai yang dicadangkannya bagi menamatkan perang di Gaza.
Hamas dilaporkan bersetuju dengan beberapa terma dalam pelan 20 perkara yang dikemukakan Trump termasuk pembebasan tebusan, namun kumpulan itu enggan mengulas isu lebih kompleks seperti perlucutan senjata, sebaliknya mahu rundingan lanjut dijalankan. – UTUSAN










