Tidak semua keluarga boleh dijadikan tempat bergantung.
Ketika seorang isteri diuji dengan kematian suami dan kesusahan hidup, di mana harus seseorang itu bergantung. Dunia menjadi gelap. Pada kebanyakan masa, seseorang itu akan putus harapan. Doa sahaja mengiringi tangisan ketika bersendirian.
Keluarga suami yang diharapkan menjadi tempat bersandar rupanya menjadi duri yang menikam.
Ketika itu jugalah terserlah sikap sebenar adik- beradik arwah.
Ada yang benar-benar ikhlas membantu memberi sokongan, ada juga yang menunjukkan ketamakan apabila melibatkan harta pusaka, malah ada yang terus menjauhkan diri.
Begitulah yang dilalui Suraya (bukan nama sebenar) apabila terpaksa menanggung beban hutang peninggalan arwah suami sendirian.
Namun, ujian lebih besar bukan sekadar beban hutang, tetapi sikap keluarga arwah yang diharapkan menjadi sandaran, malah memilih untuk lepas tangan.
Pelbagai alasan diberikan ahli keluarga arwah termasuklah tidak mampu dan paling menyakitkan, Suraya turut menerima kata-kata sindiran daripada mereka.
Ini terutamanya, daripada abang iparnya sendiri.
Dalam pertemuan yang diatur bersama saya baru-baru ini, Suraya berkata, dia tidak berniat mengungkit kisah yang sudah dua dekad berlalu apalagi mahu menyalahkan sesiapa, tetapi cukup sebagai pengajaran.
Dia kini menjalani kehidupan bahagia bersama anak-anak menantu dan cucu.
Kata Suraya, dia benar-benar kecewa dan sedih ketika itu.
Bukan hanya kehilangan suami, tetapi cukup terasa dengan sikap ahli keluarga arwah.
Namun, dalam kesedihan itu dia bangkit dan belajar sesuatu.
“Jangan sesekali meletakkan pergantungan kepada manusia, meskipun kepada keluarga sendiri.
“Hanya kepada Allah kita bergantung harap,” ujarnya.
Kata Suraya, selepas hampir 20 tahun, akhirnya pada awal Ogos lalu dia berjaya melunaskan semua hutang arwah berjumlah RM100,000 .
Bagaimanapun, bukan mudah untuk menyelesaikan hutang tersebut.
Dia terpaksa bermandi peluh, air mata bahkan maruah pernah dipertaruhkan.
Berkat doa, kesabaran dan usaha yang tidak pernah kenal putus asa , hutang berjaya diselesaikan.
Sepanjang membesarkan tiga anak, Amar, Faten dan Mimi, (bukan nama sebenar) dia tidak pernah menanam kebencian dalam diri mereka kepada keluarga arwah.
Dia hanya mendidik anak-anak agar tidak berharap kepada sesiapa untuk bersama ketika susah, walaupun keluarga sendiri.
Menyingkap kisah lalu, selepas kematian suami, Rizal (bukan nama sebenar) dia menyangka hanya akan dilanda kesedihan.
Namun rupanya, ujian lebih berat menanti.
Arwah suami, tanpa pengetahuannya telah meninggalkan sejumlah hutang yang besar.
Paling menyedihkan, keluarga arwah suami langsung tidak ambil peduli.
“Pada awalnya, saya menyangkakan keluarga arwah suami akan membantu, sekurang-kurangnya memberi sokongan moral dan meringankan bebanan kewangan.
“Tetapi, apa yang berlaku sebaliknya. Mereka lepas tangan. Jangankan seringgit dua kepada anak-anak saudara yang kehilangan bapa, langsung tidak,’’ luahnya.
Sambung Suraya, keluarga mula menjauh sejak arwah pergi apalagi mengetahui jumlah hutang ditinggalkan.
Ada yang menyalahkan arwah, seolah-olah hutang itu bukan urusan mereka.
Kata Suraya, dia benar-benar terkilan dengan sikap keluarga arwah suami terutama abang iparnya.
Paling tidak pernah dilupakan bagaimana dia pernah pergi ke rumah abang ipar untuk mendapatkan pertolongan dan sokongan.
Namun, apa yang diterima hanyalah sindiran daripada abang ipar yang memintanya menguruskan sendiri hutang arwah.
Kata Suraya, dia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa kembali bekerja.
Dia bekerja untuk membesarkan anak-anak dan dalam masa sama berusaha membayar hutang peninggalan arwah suami.
Di samping bekerja sebagai juruwang di salah sebuah pasar raya berhampiran, dia juga mengambil tempahan membuat kuih-muih.
Kata Suraya lagi ketika itu Amar, Faten dan Mimi, masing-masing berusia 8, 6 dan 4 tahun.
Hari demi hari ibu tunggal ini berjuang sendirian membesarkan anak-anak.
Dia berusaha sedikit demi sedikit melunaskan hutang arwah.
Ada ketika Suraya terpaksa menebalkan muka meminjam daripada kawan-kawan untuk melunaskan sebahagian hutang.
Suraya berkata, ketika itu dia berasa sangat sedih, kecewa dan terkadang rasa dikhianati oleh orang yang dianggap sebagai keluarga sendiri.
Sambung Suraya, paling membuatkannya terkilan bukan sahaja sikap lepas tangan mereka tentang hutang dan kebajikan anak-anak saudara yang menjadi yatim.
Tetapi sikap tamak mereka ketika pembahagian duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik arwah suami.
Ketika Suraya bergelut dengan hutang peninggalan arwah suami, diuji lagi ketika mahu menuntut wang KWSP arwah suami.
“Saya sangkakan dengan duit itu dapatlah meringankan sedikit beban kami sekeluarga dan membayar hutang arwah, namun terjadi sebaliknya.
“Masing-masing sibuk menuntut hak tanpa langsung memikirkan perasaan dan nasib saya anak-beranak ketika itu,” katanya.
Suraya tahu secara hukum bahagian KWSP ada pecahan tertentu untuk waris termasuk isteri dan anak-anak arwah.
Lebih menyedihkan, adik-beradik arwah suami yang enggan membantu melunaskan hutang arwah, berebut-rebut pula mahu mendapatkan duit peninggalannya.
“Saya benar-benar sedih dengan sikap adik-beradik arwah suami ketika itu.
“Walaupun mereka bersikap buruk terhadap saya, saya tidak pernah mendidik anak-anak membenci keluarga sendiri.
“Mereka tetap ibu dan bapa saudara yang lahir dari rahim sama dengan arwah bapa mereka,” ujarnya lagi.
Dua puluh tahun berlalu. Anak-anak Suraya kini berjaya dalam kerjaya masing-masing dan sudah berkeluarga.
Kata Suraya, dia bersyukur kerana berjaya membesarkan anak-anak dengan penuh hormat dan tidak menyimpan dendam terhadap keluarga arwah bapa mereka.
Kisah Suraya memberi pengajaran keluarga arwah yang menjadi waris sepatutnya menjadi tempat berpaut, bukan menambah luka dengan sindiran dan perebutan harta.
Sesungguhnya dalam Islam, apabila seorang bapa meninggal dunia, hak penjagaan nafkah dan perlindungan anak-anak jatuh kepada keluarga terdekat dan bukan melepaskan begitu sahaja kepada ibu seorang diri.-UTUSAN









