Dolly Parton diiktiraf ikon Rekod Dunia Guinness

Dolly Parton diiktiraf ikon Rekod Dunia Guinness

DOLLY Parton ketika membuat persembahan semasa Anugerah Academy of Country Music (ACM) di Ford Center, di Texas, pada Mei 2023. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI legenda, Dolly Parton, sekali lagi mencipta sejarah apabila menerima penghormatan tertinggi daripada Rekod Dunia Guinness selepas dianugerahkan sijil emas serta gelaran IKON sempena ulang tahun ke-70 organisasi tersebut.

Guinness World Records berkata gelaran berprestij itu hanya diberikan kepada individu yang meninggalkan impak luar biasa dalam budaya global dan nama Parton muncul sebagai pilihan paling layak.

Antara pencapaian yang melonjakkan reputasi beliau termasuk menulis beberapa lagu paling ikonik di dunia, vokal yang memukau, penampilan pentas yang penuh karisma, serta lakonan dalam filem-filem popular.

Malah, sikap Parton yang sentiasa meraikan dan mengangkat artis lain menjadikan beliau bukan sahaja seorang bintang, tetapi mentor dan inspirasi ramai.

Di usia 79 tahun, kerjaya Parton merentasi lebih enam dekad, dengan menghasilkan 66 album studio dan berganding dengan ramai bintang terkenal dunia, termasuk anak angkatnya, Miley Cyrus.

Sepanjang tempoh itu, beliau menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan.

Menariknya, 5 Ogos turut diisytiharkan sebagai Hari Dolly Parton, iaitu penghormatan nasional yang mengiktiraf pengaruh besar beliau serta kasih sayang yang diterimanya daripada peminat di seluruh dunia.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu ikonik Jalone itu kini memiliki 11 gelaran rekod dunia, termasuk artis wanita paling banyak mengekalkan album dalam Top 10 carta Billboard selama beberapa dekad berturut-turut, bermula dari Just Between You and Me pada 1968 sehingga Rockstar pada 2023.

“Saya tidaklah pecahkan begitu banyak rekod,” katanya sempat berseloroh ketika melihat deretan sijil rekod yang diserahkan kepadanya di studio Nashville, Tennessee.

PENGHIBUR PALING DISEGANI

Album Rockstar yang berjaya menduduki tangga teratas carta album utama Amerika Syarikat (AS) turut melanjutkan rekod Parton sebagai artis wanita dengan tempoh paling lama meraih kedudukan nombor satu, iaitu selama 46 tahun 197 hari.

Selain itu, kolaborasi terbaharunya bersama Sabrina Carpenter melalui versi remix lagu Please Please Please turut mengukuhkan rekod Dolly sebagai artis wanita dengan bilangan dekad terbanyak memiliki lagu Top 20 dalam carta US Hot Country Songs, yang kini menjangkau tujuh dekad.

“Tidak diragukan lagi, Parton merupakan antara penulis dan penghibur paling disegani dalam sejarah muzik negara, seperti yang tercatat dalam deretan sijil Rekod Dunia Guinness miliknya,” kata Ketua Editornya, Craig Glenday.

Bahkan, terdapat beberapa rekod lain yang juga dikaitkan dengan nama Parton walaupun bukan beliau sendiri yang merekodkan pencapaian itu.

Lagu popularnya I Will Always Love You yang dinyanyikan semula oleh Whitney Houston dalam versi pop, muncul sebagai single fizikal terlaris oleh artis solo wanita dengan jualan mencecah 24 juta salinan di seluruh dunia.

Lagu itu juga menjadi sebahagian daripada runut bunyi filem The Bodyguard yang menandakan debut lakonan Houston bersama Kevin Costner.

Lagu tersebut turut memegang rekod sebagai lagu artis solo wanita dengan tempoh paling lama berada di tangga nombor satu carta single AS, iaitu 14 minggu berturut-turut di Billboard Hot 100 antara November 1992 hingga Februari 1993.

Ia juga menyamai rekod di United Kingdom (UK) sebagai lagu artis solo wanita paling lama di tangga nombor satu dengan 10 minggu berturut-turut, bersama lagu Umbrella nyanyian Rihanna.

Malah, pada 2023, seramai 959 peminat Parton berkumpul di Kerry, Ireland dengan berpakaian seperti ikon legenda itu, mencatatkan rekod perhimpunan terbesar orang ramai berpakaian Dolly Parton.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×