SOALAN
Macam mana cara buang atau keluarkan aura overthinking? Kepala asyik memikirkan benda yang belum terjadi sampai saya rasa sangat penat.
Yang Penat
JAWAPAN
Terlalu banyak berfikir (overthinking) ialah keadaan apabila seseorang terlalu banyak berfikir sehingga fikiran menjadi kusut dan sukar dikawal. Ia bukan lagi memikirkan penyelesaian, sebaliknya berulang kali memikirkan perkara yang sama tanpa tujuan sehingga menyebabkan sukar tidur dan hilang fokus. Jika berterusan, ia boleh menjejaskan kesihatan mental. Oleh itu, berikut adalah beberapa tips sebagai panduan:
Akui perasaan – Sedar dan terima anda sedang mengalami overthinking. Kesedaran ini membantu menghentikan kitaran fikiran yang tidak terkawal serta membuka ruang mencari penyelesaian. Jangan menafikan emosi, sebaliknya hadapi dengan tenang sebagai langkah awal menguruskan diri
Menulis jurnal – Sediakan sebuah jurnal untuk mencatat perkara yang mengganggu fikiran anda. Kaedah ini dapat membantu mengalihkan beban dari kepala ke atas kertas, menjadikan minda lebih ringan, teratur dan bebas. Menulis secara konsisten membantu mengenal corak pemikiran serta mencari jalan penyelesaian lebih jelas.
Mengamalkan Mindfulness – Bantu diri untuk fokus pada masa kini, contohnya menghargai rasa makanan ketika makan atau menikmati udara semasa berjalan. Latihan ini melatih otak untuk berhenti melayang kepada masa lalu atau masa hadapan, sebaliknya kekal tenang pada saat ini.
Pengurusan masa – Tetapkan 15-20 minit sehari khusus untuk merancang atau memikirkan sesuatu yang penting. Cara ini melatih diri supaya fikiran lebih teratur dan tidak berlegar tanpa arah sepanjang hari. Jika fikiran mula melayang di luar masa tersebut, ingatkan diri untuk simpan dahulu dan sambung semula ketika masa berfikir yang telah ditetapkan.
Jaga kesihatan – Utamakan tidur yang berkualiti, pemakanan seimbang dan lakukan senaman ringan. Apabila tubuh berada dalam keadaan sihat, fikiran juga akan menjadi lebih tenang. Gaya hidup sihat membantu otak mengurus tekanan dengan lebih baik serta mengurangkan kecenderungan untuk overthinking.
Sokongan sosial – Belajar meluahkan perasaan kepada ahli keluarga atau rakan yang anda percaya. Berkongsi perasaan dapat melegakan hati dan mengurangkan beban fikiran. Jika keadaan berlarutan, jangan teragak-agak untuk dapatkan perkhidmatan sesi kaunseling supaya anda tidak menanggung segalanya bersendirian.
Kesimpulannya, overthinking boleh dialami oleh sesiapa sahaja, namun ia perlu dikawal lebih awal agar tidak menjejaskan kesejahteraan emosi, mental dan fizikal diri.-UTUSAN










