Usir lembu: 176 penternak rayu diberi kawasan baharu

Usir lembu: 176 penternak rayu diberi kawasan baharu

R. VIJAYAGANDI menyerahkan surat bantahan kepada Mohamad Firdaus Shir Mohd. di Bangunan SUK, Shah Alam, Selangor semalam. – UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor digesa segera campur tangan bagi menyelesaikan isu pengusiran ternakan lembu di Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam yang masih berlarutan sehingga kini.

Gesaan itu susulan pelaksa­naan operasi penangkapan terbaharu dilakukan pihak berkuasa di kawasan ladang berkenaan, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Gabungan Penternak Marhaen Nasional, R. Vijayagandi berkata, tindakan itu menjejaskan penternak yang juga pemilik kepada lebih 600 lembu berkenaan.

Katanya, penternak kini buntu memikirkan keadaan haiwan berkenaan berikutan larangan memasuki ladang tersebut.

“Mereka bimbang sekiranya ada daripada lembu itu mati dan mungkin akan berkeliaran di kawasan awam jika tidak dikawal dengan baik.

“Kami menggesa kerajaan negeri segera campur tangan bagi menyelesaikan isu itu dengan baik bukan saja di Sabak Bernam malah kawasan lain,” katanya ketika ditemui di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), semalam.

Terdahulu, beliau menyerahkan surat bantahan berkaitan isu itu kepada Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Mohamad Firdaus Shir Mohd.

Utusan Malaysia pada 23 Ja­nuari lalu melaporkan notis pengusiran ternakan kepada penternak lembu ditentukan pihak ladang dan kerajaan Se­langor tidak mempunyai kuasa untuk membatalkanya.

Exco Kemajuan Desa, Perpa­duan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, keputusan itu merupakan polisi dalaman oleh SD Guthrie berikutan tanah ladang berkenaan adalah milik syarikat.

Kira-kira 176 penternak sebe­lum itu meminta kerajaan ne­ge­ri menyediakan tempat baharu ba­gi meneruskan perusahaan ter­nakan lembu mereka apabi­la me­nerima notis pengusiran tersebut.

Mereka mendakwa kesal dengan notis itu yang disifatkan sebagai tergesa-gesa dengan memberi tarikh akhir pemindahan pada 31 Januari.

Pada 18 Disember tahun lalu, pihak Ladang SD Guthrie diarah segera memindah dan mengosongkan lebih 1,000 lembu milik penternak yang berkeliaran sehingga mengakibatkan kemalangan maut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×