Baik pulih lubang benam di jalan Lojing tunggu peruntukan

Baik pulih lubang benam di jalan Lojing tunggu peruntukan

KEADAAN lubang benam di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Kelantan yang menyaksikan laluan itu ditutup kepada semua kenderaan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan sudah mengemukakan sejumlah peruntukan kepada kerajaan untuk kerja-kerja membaik pulih laluan di Kilometer 78 Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke yang runtuh akibat kejadian lubang benam.

Pengarah JKR negeri, Ir. Nik Soh Yaacoub berkata, selain itu proses reka bentuk kerja-kerja pembaikan di kawasan runtuhan sedang dilaksanakan ketika ini.

“Insya-Allah, sebaik sahaja peruntukan yang diangkat kepada kerajaan diluluskan, kami menyegerakan kerja-kerja pembinaan. Ini adalah laluan utama untuk ke Cameron Highland, Pahang jadi saya sangat berharap kerajaan dapat meluluskan peruntukan dengan kadar segera,” katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Soh berkata, JKR tidak per­nah mewujudkan laluan ­alter­natif untuk pengguna jalan tersebut.

Katanya, laluan itu telah ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pengguna jalan raya menggesa pihak bertanggungjawab mempercepat kerja-kerja membaik pulih lubang benam di Kilometer 78 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini untuk memudahkan perjalanan mereka ke Cameron Highlands, Pahang dan Ipoh, Perak.

Sejak jalan itu ditutup dua minggu lalu, pengguna mendakwa mereka terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk bercuti ke Cameron High­lands.

Seorang pengguna jalan raya dari Gua Musang, Mohd. Rustam Ismail, 34, terpaksa menggunakan jalan alternatif iaitu laluan Sungai Koyan-Ringlet untuk bercuti di Tanah Tinggi, Cameron Highlands dan terpaksa menempuh perjalanan jauh, lebih tiga jam untuk ke Cameron Highlands berban­ding dua jam sekiranya melalui jalan Gua Musang.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×