Tiga kapal flotila ditahan di pelabuhan Israel - Utusan Malaysia

Tiga kapal flotila ditahan di pelabuhan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Tiga kapal flotila bantuan ke Gaza kini ditahan di pelabuhan Ashdod, selatan Israel, selepas dipintas secara tidak sah oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa.

Menurut agensi semakan fakta Al Jazeera, Sanad, kapal-kapal tersebut iaitu Capten Nikos dari Greece, serta Estrella y Manuel dan Adara dari Sepanyol sudah ditunda ke pelabuhan Ashdod selepas cuba meneruskan pelayaran ke Gaza sebagai sebahagian daripada misi flotila Global Sumud.

Penganjur flotila mendakwa pemintasan itu berlaku secara haram dan menyifatkannya sebagai satu pencabulan undang-undang maritim antarabangsa.

Antara penumpang kapal Capten Nikos ialah Rima Hassan, ahli Parlimen Eropah yang turut berkongsi rakaman saat kapal mereka dihentikan oleh pasukan tentera Israel.

Beliau mengecam penahanan para aktivis sebagai tindakan yang tidak sah dan mencabuli hak kemanusiaan.

Insiden ini mencetuskan reaksi antarabangsa, termasuk dari Kementerian Luar Qatar yang mengecam tindakan Israel sebagai ancaman kepada keselamatan maritim dan kebebasan pelayaran.

Qatar turut menggesa pembebasan segera kesemua yang ditahan serta menuntut pertanggungjawaban terhadap pencabulan ini.

Flotila Sumud merupakan satu daripada inisiatif kemanusiaan terbaru yang berusaha untuk menyalurkan bantuan terus ke Semenanjung Gaza yang kini terputus dari banyak saluran bantuan ekoran sekatan berterusan Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×