Global Sumud Flotilla: Kerajaan perlu guna segala saluran nyatakan bantahan

Global Sumud Flotilla: Kerajaan perlu guna segala saluran nyatakan bantahan

Global Sumud Flotilla
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan perlu menggunakan sepenuhnya semua saluran diplomasi dan pengaruh negara ini dalam kepengerusian ASEAN berhubung tindakan dan tekanan yang dikenakan ke atas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN), Nurul Syazwani Noh berkata, menerusi kapasiti tersebut, kerajaan perlu menekan kuasa besar antarabangsa termasuk Presiden Amerika Syarikat selain mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan zalim Israel.

Katanya, Malaysia perlu menuntut pembebasan serta-merta ke atas semua aktivis termasuk rakyat Malaysia kerana misi tersebut disertai sekurang-kurangnya 500 aktivis dari lebih 40 negara.

“Menekan kuasa besar antarabangsa supaya menghentikan tindakan melanggar undang-undang dan menjamin keselamatan semua aktivis, terutama sukarelawan wanita Malaysia yang kini menjadi simbol kekuatan dan ketabahan bangsa.

“Misi ini turut disertai wanita-wanita hebat yang menjadi tulang belakang dalam gerakan kemanusiaan ini. Mereka bukan sekadar membawa bantuan fizikal, tetapi membawa semangat juang dan kasih sayang seorang ibu kepada anak-anak Palestin yang sedang menderita,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tentera laut Israel menahan lebih 200 aktivis dari seluruh dunia yang menyertai misi GSF ke Gaza, selepas beberapa kapal dalam konvoi tersebut dipintas dalam operasi malam kelmarin, menurut jurucakap rasmi pasukan keselamatan Israel.

Aktivis yang ditahan berasal dari sekurang-kurangnya 37 negara, termasuk Sweden, Brazil, Perancis dan Malaysia.

Antara individu yang ditahan ialah aktivis iklim terkenal Greta Thunberg dan Ahli Parlimen Eropah, Emma Fourreau, yang berada di atas kapal Madleen dan Alma ketika serbuan dijalankan.

Tambah Nurul Syazwani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang itu, tindakan Israel melanggar prinsip asas undang-undang antarabangsa termasuk San Remo Manual 1994 yang menjamin kebebasan pelayaran dan melarang sekatan terhadap bantuan kemanusiaan.

“Malah, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Mei 2024 turut mewajibkan Israel memastikan akses tanpa halangan kepada misi kemanusiaan ke Gaza.

“Perbuatan itu jelas mencabar kedaulatan undang-undang dan menafikan hak asasi manusia yang paling asas, iaitu hak untuk hidup,” jelasnya.

Malah katanya Wanita PN turut membantah lawatan Presiden, Donald Trump ke negara ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN akan datang sekiranya beliau berterusan enggan menggunakan kedudukannya bagi menghentikan kekejaman terhadap misi kemanusiaan itu.

“Malaysia mesti menunjukkan kepada dunia bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana kuasa yang membiarkan kezaliman berleluasa.

“Perjuangan ini bukan hanya mengenai Palestin, tetapi menyentuh maruah kemanusiaan sejagat, hak asasi manusia dan kewajiban kita mempertahankan kebenaran,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×