KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) yang berlangsung penuh bersejarah di pekarangan sekolah itu, di sini semalam.
Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail; Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Datuk Sri Muhammad Mua’az; Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Datuk Sri Nadhirah Zahrah serta Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra’ yang menceriakan lagi suasana sambutan bertemakan ‘Seabad Gemilang 1921’.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, majlis berprestij itu menyatukan warga sekolah, alumni dan masyarakat dalam satu acara yang mengimbau sejarah panjang serta pencapaian gemilang SMKSS sejak ditubuhkan lebih satu abad lalu.
“Sambutan 100 tahun ini bukan sekadar meraikan sejarah tetapi satu penghormatan kepada seluruh warga pendidik, pelajar dan alumni yang meletakkan SMK Sultan Sulaiman sebagai antara sekolah terunggul di negeri dan negara.
“Ia menjadi bukti bahawa kecemerlangan berasaskan tradisi boleh diteruskan dengan semangat kebersamaan dan visi yang jelas,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan 100 tahun SMK Sultan Sulaiman yang turut dihadiri Pengetua SMKSS, Mohd Fazli Yusof.
Tengku Farok Hussin yang juga alumni sekolah itu berkata, sambutan ini bukan sahaja mengimbau nostalgia zaman persekolahan tetapi meraikan pencapaian cemerlang bekas pelajar yang mengharumkan nama sekolah di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.-UTUSAN.









