PETALING JAYA: Dadah disyaki jenis syabu seberat 150 kilogram bernilai kira-kira RM3.3 juta dirampas selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki seorang lelaki ditinggalkan berhampiran Plaza Tol Damansara, di sini pada Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, Pasukan Peronda Lebuhraya (EMPV) Zon Tengah A1 mengarahkan sebuah MPV jenis Maxus berwarna hitam berhenti di Kilometer 18 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemandu kenderaan terbabit enggan memberikan kerjasama dan bertindak melarikan diri sehingga merempuh palang tol sebelum meninggalkan kenderaan di lorong kanan Plaza Tol Damansara.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui enam karung guni berwarna hijau dan setiap satu mengandungi 25 paket bungkusan kecil bertulisan Cina “Chinese Pin Wei” dengan jumlah keseluruhan 150 paket.
“Setiap paket dianggarkan seberat satu kilogram dan kesemuanya dipercayai mengandungi dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd Yusri, kesemua rampasan termasuk kenderaan terbabit telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis kini sedang mengesan suspek yang melarikan diri dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspekto Nor Izzat Norezairi di talian 016-8289910 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – UTUSAN










