HULU SELANGOR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan bayaran saman atas pelbagai kesalahan termasuk melibatkan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) lebih RM130 juta sejak Januari lalu.
Pengarah Kanan Penguatkuasanya, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, peningkatan bayaran saman juga direkodkan sejak penguatkuasaan senarai hitam AwAS pada 1 Julai lalu apabila sebanyak RM1.3 juta saman dikutip.
“Lebih RM130 juta nilai saman atas pelbagai notis diselesaikan sejak Januari lalu. Semalam, RM1.3 juta saman dikutip melibatkan 8,300 notis saman, dalam masa sehari,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar, hari ini.
Terdahulu, dalam sidang akhbar sama, beliau memaklumkan susulan penguatkuasaan senarai hitam, JPJ mengesan aduan berkaitan seorang pemandu yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan milik orang lain.
Muhammad Kifli berkata, susulan aduan tersebut, JPJ mengesan dan menyita sebuah Toyota Fortuner milik seorang ahli perniagaan yang juga pakar motivasi.
Menurutnya, lelaki berusia 50 tahun itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang berbeza pada bahagian depan dan belakang kereta miliknya itu.
“Nombor pendaftaran di hadapan yang mengandungi huruf ‘PRF’ adalah benar miliknya, namun di bahagian belakang pula ‘RF’ adalah milik orang lain yang tinggal di Perlis yang menggunakan kereta sama, tetapi warna berbeza.
“Kami percaya taktik tersebut digunakan untuk mengelak daripada dikesan melakukan kesalahan termasuk trafik. Malah, pemandu terbabit juga sengaja meninggalkan kesan pita pelekat pada plat sebagai cubaan mengelirukan pihak berkuasa sekiranya diperiksa,” jelasnya.
Ujar Muhammad Kifli, lelaki terbabit disiasat di bawah 108(3)(f) Akta pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun. – UTUSAN










