KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM5 juta sebagai balasan bagi mengelakkan tindakan undang-undang oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Tertuduh, Kuhan Arunasalam Poraviappan, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa meminta wang rasuah sebanyak RM5 juta daripada seorang wakil syarikat UBB Amanah Berhad yang mana wang tersebut didakwa sebagai dorongan kepada SC agar tidak mengambil tindakan terhadap syarikat amanah persendirian itu di Jalan Bangkung, Bangsar pada 2 Julai tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Selvam T. Armugom dan Mohd. Syahzad Azad Sanusi, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Wan Shahrizan Wan Ladin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin tempatan dan turut mengarahkan agar pasportnya diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 6 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen. – UTUSAN











