Pemakaian lencana Jalur Gemilang bukan pembaziran

Pemakaian lencana Jalur Gemilang bukan pembaziran

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid yang bermula April lalu bukan pembaziran.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, dasar pemakaian lencana itu bertujuan untuk memupuk semangat patriotik dan memastikan generasi baharu didedahkan kepada maksud sebenar patriotisme.

Menurutnya, dalam masa yang sama kementerian tidak mengetepikan isu-isu kritikal dalam pendidikan termasuk keperluan di sekolah-sekolah.

“Dalam isu pendidikan, setiap polisi dan peruntukan yang diberikan itu bukan satu zero-sum game. Setiap tahun kerajaan memberikan peruntukan lebih daripada RM600 juta bagi tujuan penyelenggaraan tahunan meliputi sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah kebangsaan serta sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

“Bagaimanapun mana-mana peruntukan penyelenggaraan yang kita beri pun, tidak mampu memenuhi 100 peratus kehendak daripada setiap sekolah. Itu kita faham. Maka kita nasihatkan sekolah untuk melaksanakan projek mengikut keutamaan dan peruntukan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran pecah tanah kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tack di sini hari ini.

Beliau mengulas pandangan pihak berhubung keberhasilan dasar pemakaian lencana Jalur Gemilang dengan mengaitkan isu prasarana di sekolah susulan tragedi seorang murid terjatuh dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Negeri Sembilan beberapa hari lalu.

Dasar pemakaian lencana bendera Malaysia itu difahamkan membabitkan kos sebanyak RM8.4 juta dengan anggaran satu pin lencana berharga 80 sen yang diberikan secara percuma sebanyak dua unit kepada setiap murid.  

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan pandangan setiap pihak berhubung dasar yang dilaksanakan oleh KPM namun menyatakan kononnya dasar pemakaian lencana bendera itu bertujuan menguntungkan kroni adalah satu dakwaan yang tidak betul dan berbentuk fitnah.

“Segala tender yang kita keluarkan adalah dikeluarkan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melalui sebut harga masing-masing.

“Di seluruh negara, perolehan untuk lencana Jalur Gemilang ini adalah dilaksanakan oleh setiap negeri di peringkat JPN. Dan di seluruh negara terdapat 91 pembekal tempatan yang telah pun memenangi kontrak dan membuat pembekalan berkenaan dengan pemberian lencana Jalur Gemilang secara percuma ini kepada anak-anak kita.

“Saya hendak tegaskan apabila ditanya kenapa RM8.4 juta ini tidak digunakan untuk tujuan lain dan sebagainya. Bagi saya pendidikan ini bukan satu zero-sum game. Apabila kita buat polisi pemakaian lencana Jalur Gemilang ini, tidak bermaksud kita abaikan isu seperti buli dan penyelenggaraan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×