SEREMBAN: Larangan terhadap pengeluaran dan pengambilan hasil kerang-kerangan termasuk kupang dari perairan Port Dickson ditarik balik berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, analisis makmal terhadap sampel kupang melalui sistem panggar dan pancang pada 17 September lalu mendapati kandungan toksin Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) di bawah paras parameter 800 per billion (ppb).
Menurutnya, keputusan menarik semula larangan tersebut adalah berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kes Ledakan Alga Berbahaya (HAB) di Port Dickson.
“Sehubungan itu, pengusaha dan penternak kupang melalui sistem pancang dan panggar kupang dari Sungai Sekawang ke Kampung Telok, Pasir Panjang adalah dibenarkan untuk menjalankan aktiviti pengambilan, mengutip, mengeluar dan menuai kerang-kerangan dari perairan Port Dickson.
“Penarikan larangan ini berkuat kuasa serta-merta berikutan kandungan toksin PSP di bawah paras parameter 800 ppb,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Kasim menasihatkan orang awam yang masih menyimpan kerang kerangan yang diambil semasa tempoh larangan untuk melupuskan haiwan dwicangkerang tersebut dan tidak memakannya.
Bulan lalu, media melaporkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang mengeluarkan hebahan larangan penjualan dan penuaian sumber kerang-kerangan (dwicengkerang) dari perairan Port Dickson.
Larangan itu berikutan pengesanan fenomena yang dipercayai merupakan ledakan alga di perairan Pasir Panjang, Port Dickson 5 Ogos lalu.
Pada 4 April tahun lalu, Jabatan Perikanan turut mengeluarkan larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di perairan Port Dickson.
Ia selepas kupang di perairan Port Dickson dikesan dicemari dan tidak selamat dimakan susulan dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya.
Bagaimanapun, larangan tersebut ditarik semula pada 10 Ogos 2024.-UTUSAN.










