KLANG: Seorang pemuda kekal mahu menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan membunuh dan membakar kekasih hamilnya di Sabak Bernam, dua tahun lalu.
Peguam Muhammad Nor Tamrin berkata, dia dimaklumkan mengenai hasrat tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, itu hari ini.
“Semalam, saya dihubungi anak guam menerusi panggilan telefon supaya mempertimbangkan perkara itu secara menyeluruh. Selepas dinasihatkan sekali lagi pagi ini, dia memberitahu masih mahu menukar pengakuan kepada bersalah,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Justeru, beliau memohon tarikh sebutan bagi membacakan semula pertuduhan ke atas Muhammad Fakrul dan Penolong Kanan Pendaftar, Luqman Abdul Haris kemudian menetapkan 10 Oktober depan bagi sebutan semula kes.
Prosiding hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli sepatutnya bagi mendengar keputusan representasi kes berkenaan.
Pada 8 September lalu, Hakim Norliza Othman menasihatkan tertuduh mempertimbangkan hasrat menukar pengakuan itu dan mengetahui terlebih dulu status representasi yang dikemukakan kepada pihak pendakwaan. – UTUSAN










