Keistimewaan buku memoir NEKAD Mengubah Destini dengan Izin-NYA (NMDDI) terbitan Penerbit Universiti Putra Malaysia (PUPM), 2024 adalah ditulis oleh sepasang suami isteri, bekas ahli akademik yang berlainan bidang.
Mansor Ahmad merupakan seorang pensyarah berjawatan profesor sewaktu berkhidmat di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kecemerlangan Mansor dalam bidang akademik dan pentadbiran amat menyerlah, justeru, apabila dia berjaya menulis dan menerbitkan sebuah buku memoir tentang perjalanan kehidupan beliau secara kreatif, jelas Mansor juga seorang yang berbakat dalam bidang penulisan.
Sementara itu, isteri beliau Normah Omar seorang pensyarah yang telah menerima anugerah Profesor Emeritus kerana kecemerlangan dalam bidang akademik dan pentadbiran sewaktu berkhidmat di Universiti Teknologi MARA (UiTM), juga seorang penulis yang telah menghasilkan dua buku iaitu Menuju Puncak (Galeri Ilmu, 2024) dan NMDDI.
Buku NMDDI wajar dibaca oleh generasi bersekolah rendah, menengah, mahasiswa universiti serta para pensyarah. Buku ini mampu memberi semangat dan dorongan untuk mengubah kehidupan menjadi berjaya dan bahagia.
Mansor dan Normah hidup dalam golongan keluarga miskin yang menjadikan mereka bersungguh-sungguh belajar untuk menjadi murid yang pintar. Mereka berazam hendak keluar daripada belenggu kemiskinan yang menghimpit kehidupan keluarga mereka.
Tindakan Normah seorang kanak-kanak ketika itu berusia 13 tahun sangat luar biasa. Normah telah membantu meringankan beban ibunya yang menanggung kos sara hidup anak-anak secara bersendirian setelah kematian suami. Ayah Normah meninggal dunia ketika Normah berusia sembilan tahun.
Normah telah berfikir dan berikhtiar bersendirian tanpa pengetahuan ibunya. Tanpa ditemani sesiapa, Normah telah pergi ke Pejabat Pegawai Daerah Ulu Langat dan berjumpa dengan salah seorang pegawai yang nampak prihatin dan baik hati.
Normah telah menceritakan dan meluahkan perasaannya kepada pegawai tersebut tentang kemiskinan kehidupan keluarganya dan ‘Pegawai Daerah” itu telah mendengar dengan teliti.
Pegawai daerah memberi dokumen-dokumen yang perlu diisi oleh Normah termasuk surat sokongan daripada guru. Akhirnya Normah menerima bantuan persekolahan daripada Jabatan
Kebajikan Masyarakat. Bantuan itu telah menjadikan Normah sentiasa berazam hendak berjaya dalam pelajaran hingga ke peringkat universiti.
Begitu juga dengan Mansor ketika zaman kanak-kanak. Mansor seorang kanak-kanak yang mandiri. Mansor bertekad hendak keluar daripada kepompong kemiskinan yang membelenggu keluarganya.
Sewaktu zaman kanak-kanak, Mansor membantu ayahnya melakukan pelbagai kerja. Mansor menjaga lembu, kerbau dan kambing. Mansor membantu ibunya membuat kuih bahulu dan putu kacang. Mansor turut membantu kakaknya menjual buah-buahan.
Ketika bersekolah rendah, Mansor berazam hendak masuk ke sekolah asrama penuh. Mansor berjaya mengejar cita-citanya apabila Mansor terpilih memasuki sekolah asrama penuh setelah lulus peperiksaan penilaian ke sekolah asrama penuh.
Bagaimana pula prestasi Mansor dan Normah ketika berada di alam sekolah menengah, universiti dan dunia kerjaya?
Terlalu banyak cerita yang dipaparkan oleh Mansor dan Normah dalam buku NMDDI sangat bermanfaat dan menjadi panduan kepada insan yang ingin mengubah destini kehidupan.
Apa yang menarik, kisah kehidupan Mansor dan Normah ditulis secara berasingan dalam buku NMDDI.
Mansor menulis sebanyak enam bab dan Normah menulis sebanyak enam bab juga tentang kehidupan masing-masing. Kisah dimulakan oleh Mansor kemudian diikuti oleh Normah.
Sebagai ahli akademik dan pentadbir, terlalu banyak sumbangan yang diberi oleh Mansor dan Normah kepada bangsa dan negara. Malah sumbangan mereka berdua telah dihargai dengan menerima anugerah di peringkat kebangsaan.
Sehubungan itu, buku NMDDI wajar dimiliki dan dijadikan bahan penyelidikan khususnya dalam bidang pendidikan, akademik dan kerjaya.
Apatah lagi dalam zaman serba canggih ini, ilmu sangat berguna untuk dipraktikkan dalam sebarang situasi demi kebaikan dan kebahagiaan sepanjang mengharungi kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan.
Kesimpulannya, firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.
Manusia disarankan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk memperoleh sesuatu dan berdoa kepada Allah kerana doa berupaya mengubah takdir kehidupan manusia.
Justeru, buku NMDDI amat sesuai dijadikan bahan rujukan untuk mengubah kehidupan menjadi cemerlang dan madani. – UTUSAN









