KUALA SELANGOR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mendakwa wujud peminjam culas melunaskan bayaran balik pinjaman Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara biarpun dikenakan kadar rendah.
Pengerusinya, Prof. Datuk Mohd. Azmi Mohd. Lila berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa memberi ruang kepada peminjam melangsaikan hutang dan belum ada yang dikenakan tindakan berat.
“Semua perlu faham SPNB perlu memikul manah dan peminjam diharap patuh dengan jadual pembayaran semula.
“Isu culas memang ada namun tidak banyak dan terkawal. Kami komited menguruskan masalah itu supaya tidak meruncing dan memberi kesan terhadap bantuan pinjaman yang disalurkan sejak 2002,” katanya.
Terdahulu, beliau menyerahkan sebuah rumah baharu kepada satu keluarga mangsa kebakaran di Blok Q Sawah Sempadan, Tanjong Karang, semalam.
Kebakaran pada 26 Mei lalu itu menyebabkan Muhamad Zulhadi Mispar, 27, dan tujuh ahli keluarganya kini menumpang di sebuah inap desa sebelum menerima bantuan SPNB secara penuh.
Menurut Mohd. Azmi, pihaknya tidak menghalang pemilik unit RMR mengubah suai kediaman, namun tidak alpa dengan tanggungjawab melunaskan hutang pinjaman seperti yang telah dipersetujui.
“SPNB merangka pelbagai kaedah bagi membantu peminjam culas menyelesaikan hutang termasuk gadaian tanah dan moratarium selama lima tahun.
“Kami berjaya menyelesaikan masalah tanpa perlu mengambil semula rumah atau tanah mereka secara baik mengikut perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya sebagai agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membina 73,167 unit RMR di seluruh negara termasuk 3,814 unit di Selangor. – UTUSAN










