Sempadan sesak sempena cuti Keputeraan Sultan Kelantan

Sempadan sesak sempena cuti Keputeraan Sultan Kelantan

KENDERAAN beratur panjang menunggu giliran menaiki feri di jeti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, semalam. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini sesak apabila rakyat Malaysia mengambil peluang ke Thailand sempena cuti Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, kesesakan berlaku di dalam ICQS Pengkalan Kubor kerana menunggu giliran untuk menaiki feri menyeberangi Sungai Golok dari jeti Pengkalan Kubor ke Takbai, Thailand.

Seorang pelancong, Mat Idris Yaakob, 52, berkata, kenderaan yang masuk ke Thailand semalam bagaimanapun tidak sebanyak minggu lepas ketika cuti Hari Malaysia dan cuti sekolah.

“Hanya menunggu 15 minit untuk sampai ke jeti feri ini. Orang Malaysia setiap kali cuti panjang pasti melancong ke Thailand, saya pula rutin setiap minggu masuk ke negara itu,” katanya.

Bagi Rosnani Musa, 32, pula, dia ke Thailand kerana bercuti di Hatyai bersama keluarga.

Katanya, dia menjangkakan keadaan di sini lenggang kerana minggu lepas sudah ramai yang masuk ke Thailand tetapi tetap sesak.

“Kelantan cuti dua hari sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, ini peluang untuk saya bercuti. Walaupun kenderaan banyak beratur menunggu giliran tetapi urusan melepasi sempadan lancar kerana dua feri beroperasi,” katanya.

Penduduk kampung Pengkalan Kubor, Hidayah Mat Ghani, 35, berkata, kesesakan hingga di luar pagar ICQS Pengkalan Kubor adalah situasi biasa setiap kali cuti umum.

“Pelancong akan menunggu di pintu pagar ini pada pukul 7 pagi lagi kerana mereka mahu menjadi orang terawal dapat menaiki feri,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×