SOALAN
Bagaimana mahu menjadi isteri dan ibu jika setiap hari rasa penat sangat. Rasa menyesal kahwin dan ada anak, tetapi dalam masa yang sama tidak sanggup kehilangan mereka. Saya takut anak-anak menjadi mangsa dan alami tekanan seperti saya.
-Ibu burnout
JAWAPAN
Burnout ialah keletihan fizikal, emosi dan mental yang berlaku akibat tekanan berpanjangan.
Ia membuatkan seseorang hilang motivasi, cepat marah, rasa gagal dan tidak mampu menjalankan peranan dengan baik.
Tugas harian yang berulang-ulang tanpa henti menyebabkan rasa penat luar biasa sehingga menjejaskan kesihatan mental. Oleh itu, disertakan beberapa tip sebagai panduan:
1)Terima emosi – Akui dan terima emosi itu kerana ia bukan sekadar kepenatan, tetapi petanda anda burnout. Kesedaran awal penting supaya tindakan boleh diambil sebelum keadaan semakin teruk.
2)Utamakan kepentingan – Belajar membezakan tugasan penting, tidak penting, segera dan tidak segera yang boleh ditangguhkan. Tidak semua kerja perlu dilakukan secara sempurna. Yang penting belajar untuk fokus kepada keluarga agar sentiasa selamat, sihat dan cukup makan.
3)Berkongsi tanggungjawab – Libatkan anak dan suami dalam urusan kerja rumah, walaupun sekecil-kecil tugasan seperti membuang sampah atau menyusun mainan. Jangan pikul semuanya sendiri kerana ia hanya akan menambah bebanan.
4)Cari me-time – Luangkan sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk melakukan perkara yang menggembirakan seperti membaca, minum kopi atau brisk walk. Aktiviti ringkas ini mampu menenangkan hati dan menyegarkan jiwa.
5)Jaga kesihatan – Dapatkan tidur berkualiti, lakukan senaman ringan, minum air secukupnya dan amalkan pemakanan seimbang. Gaya hidup sihat membantu menstabilkan emosi anda.
6)Belajar terima ketidaksempurnaan – Jadi diri sendiri dan berlapang dada. Rumah tidak perlu sentiasa kemas, anak-anak yang bising dan bersepah itu tanda mereka sedang membesar. Belajar lepaskan rasa bersalah bila tak mampu buat semua perkara.
7)Cari sokongan – Luahkan perasaan kepada ahli keluarga atau rakan baik untuk melegakan emosi. Jika keadaan semakin berat, dapatkan bantuan profesional seperti kaunselor atau psikologi.
Burnout ialah pengalaman nyata yang boleh dialami sesiapa sahaja, termasuk isteri atau ibu.
Ia bukan tanda kelemahan atau kegagalan, tetapi petunjuk anda memerlukan sokongan untuk menjaga keseimbangan hidup, agar lebih tenang dan ikhlas tanpa mengorbankan kesihatan diri.










