MELAKA: Kanak-kanak lelaki yang lemas akhirnya ditemui meninggal dunia selepas lebih tiga jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini malam ini.
Mangsa, Muhammad Wafi Idrian Zafran Ridwan, 12, ditemui kira-kira pukul 9.40 malam pada jarak 150 meter dari lokasi dilaporkan hilang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Shahrom Laji berkata, dua lagi mangsa iaitu Muhammad Zakuan Nasran Nasiran dan Muhammad Azil Adis Ahai masing-masing berusia 12 tahun berjaya diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke hospital.
Katanya, kekuatan operasi melibatkan 44 anggota pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rela serta bantuan nelayan tempatan.
“Operasi pada awalnya dilakukan di permukaan menggunakan bot nelayan sebelum selaman dibuat, namun tidak berjaya menemui mangsa. Alhamdulillah dengan bantuan pukat nelayan, mangsa akhirnya ditemui berhampiran pesisir pantai dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mohd. Shahrom berkata, cabaran utama operasi adalah faktor penglihatan yang terhad pada waktu malam serta arus laut yang agak deras. – UTUSAN










