KUALA LUMPUR: Perdagangan antara ASEAN dan rakan Plus 3 iaitu China, Jepun dan Korea Selatan, mencecah AS$1.2 trilion (RM5 trilion) pada 2024, menyumbang 31.7 peratus daripada jumlah perdagangan kumpulan serantau itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dari negara-negara itu ke ASEAN pula berjumlah AS$44.4 bilion (RM186.8 bilion, mewakili hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan FDI ke rantau ini.
“Angka-angka ini menunjukkan kepentingan perkongsian berterusan kita,” katanya dalam ucapan perasmian Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Plus 3 yang diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Sesi tersebut dihadiri menteri-menteri ekonomi ASEAN dan rakan sejawatan dari negara Plus 3 iaitu Timbalan Menteri Perdagangan China Yan Dong, Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI), Muto Yoji, dan Menteri Perdagangan Korea Selatan, Yeo Han-Koo serta para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
Tengku Zafrul berkata, pihaknya yakin semangat kolaborasi bersama ASEAN+3 akan menjadi lebih produktif dan dinamik yang seterusnya memberi manfaat besar kepada perniagaan.
Tambahnya, sejak dimulakan pada 1997, rangka kerja Kerjasama Ekonomi ASEAN Plus 3 telah berkembang pesat dan membawa banyak faedah. – UTUSAN










