TAWAU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN17) Sabah, UMNO Kalabakan tampil dengan inisiatif yang lebih santai bagi dekati rakyat DUN N71 Tanjung Batu melalui penubuhan TEGAR71.
TEGAR71 adalah singkatan bagi teh dan sanggar (pisang goreng) diwujudkan bukan sekadar untuk menggerakkan kempen politik, malah berperanan menyantuni pengundi di setiap lokaliti dan daerah mengundi.
Ketua UMNO Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, inisiatif ini melambangkan suasana santai, mesra dan kemasyarakatan yang mencirikan kehidupan orang di kampung.
“Teh & Sanggar bukan sekadar makanan dan minuman, tetapi lambang kebersamaan. Di situlah kita berkumpul, berbual, bergelak tawa dan mengikat silaturrahim. Dari suasana santai inilah lahir kekuatan TEGAR sebagai suara rakyat Tanjung Batu.
“Ia juga bukan sekadar nama, tetapi juga melambangkan semangat teguh dan keyakinan bahawa Tanjung Batu mesti terus Bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya Ketika dihubungi, hari ini.
Menurut beliau, golongan anak muda dan pengundi kali pertama turut tertarik dengan inisiatif yang dibuatnya berbanding hanya memberi ceramah politik.
“Anak muda dan pengundi kali pertama kita dekati dengan cara yang mereka rasa rapat dan seronok. Ada aktiviti sukan, kreativiti digital, media sosial, dan program kebajikan.
Kita mahu mereka rasa suara mereka dihargai bukan hanya pada hari mengundi, tetapi sepanjang masa. TEGAR71 ialah wadah mereka untuk bersuara, beraktiviti, dan menyumbang idea bagi membina masa depan Tanjung Batu,” katanya.
Beliau yang juga Penolong Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata, parti itu akan mengangkat tiga agenda utama iaitu pembangunan, ekonomi, dan perpaduan masyarakat. Namun, aspek pendidikan serta latihan kemahiran diberikan tumpuan khusus.
“Di Tanjung Batu, pembangunan asas mesti terus diperkasakan, ekonomi rakyat mesti digerakkan, dan perpaduan masyarakat sentiasa dijaga. Tetapi keutamaan kita adalah memperkukuh pendidikan dan latihan kemahiran supaya anak-anak muda bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Pada masa sama, kita mahu pastikan pembangunan rakyat marhaen diberi keutamaan dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, membantu usahawan kecil untuk bangkit dan menarik pelaburan baharu yang membawa manfaat kepada rakyat,” jelasnya.
Ketika ditanya berkenaan kekuatan utama UMNO di kawasan itu, beliau menegaskan kepercayaan jentera akar umbi kepada parti tetap menjadi sandaran paling kukuh.
“Kekuatan UMNO terletak pada jentera akar umbi yang setia, perpaduan ahli, serta hubungan rapat dengan masyarakat.
“Dari kampung nelayan hingga ke taman perumahan, UMNO tidak pernah asing di mata rakyat. Kita ada sejarah panjang perjuangan dan khidmat di sini, dan itulah modal besar kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional,” katanya.
Tambah Samasuddin lagi, isu besar yang paling dirasai pengundi DUN Tanjung Batu ketika ini adalah kos sara hidup yang semakin menekan, peluang pekerjaan untuk anak muda, serta keperluan menambah baik kemudahan asas.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan menabur janji kosong sebaliknya akan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat.
“Rakyat mahu kebajikan mereka terbela, pendidikan anak-anak diutamakan, dan masa depan lebih terjamin di tanah sendiri. Inilah denyut nadi rakyat yang mesti kita tangani.
“Kita ada rekod membawa pembangunan, dan kali ini kita mahu tampil lebih telus serta responsif. Ekonomi komuniti akan diperkasakan, kebajikan pendidikan diutamakan, peluang latihan kemahiran disediakan untuk belia, pelaburan baharu ditarik melalui kerjasama kerajaan negeri dan pusat, dan isu asas seperti air, elektrik, jalan raya serta telekomunikasi akan diberi perhatian utama,” katanya.
Ditanya jika UMNO berjaya mengekalkan kemenangan di DUN Tanjung Batu, beliau memberi jaminan isu keperluan asas rakyat akan menjadi fokus pertama untuk diselesaikan.
“Keutamaan pertama ialah memastikan rakyat hidup lebih selesa. Mereka mesti yakin masa depan mereka terjamin dan anak-anak mereka ada lebih banyak peluang.
“Pada masa yang sama, kita akan memperkukuh pendidikan, latihan kemahiran TVET untuk belia, membuka peluang pekerjaan, dan menyediakan ruang niaga untuk usahawan kecil. Kemenangan ini mesti dirasai sebagai kemenangan rakyat, bukan semata-mata kemenangan parti,” tegasnya. – UTUSAN











