Papagomo diperintah bela diri kes hasutan - Utusan Malaysia

Papagomo diperintah bela diri kes hasutan

WAN Muhammad Azri Wan Deris (kiri) hadir untuk mendengar keputusan kes hasutan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan aktivis politik, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo untuk membela diri atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada hujung kes pendakwaan.

“Setelah pihak-pihak mengemukakan hujahan dan pihak pendakwaan menutup kes, mahkamah membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan berjaya menimbulkan satu kes prima facie.

“Oleh itu, anak guam iaitu Wan Muhammad Azri dipanggil untuk membela diri,” katanya.

Susulan itu, Wan Muhammad Azri, 42, yang juga bekas Exco Pemuda UMNO diperintahkan membela diri dengan prosiding pembelaan ditetapkan pada 4 November ini.

Pada 2 Mei 2024, Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerbitkan penerbitan di laman X miliknya yang didakwa menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang pada pukul 12 tengah hari, 29 April 2024. Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang dibaca bersama Subseksyen 4 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Ketika ditemui di pekarangan mahkamah, Muhammad Rafique berkata, setakat ini pembelaan bercadang memanggil seorang saksi iaitu anak guamnya sendiri.

“Kita tunggu dan lihat bagaimana perbicaraan pembelaan berjalan kelak. Saya percaya selepas anak guam membuat pembelaan, akan ada keputusan yang baik,” katanya.

Perbicaraan kes itu bermula pada Oktober 2024 dengan sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×