KOTA BHARU: Seorang anak pemotong rumput sebak apabila impiannya untuk menyambung pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) pada 28 September ini menjadi kenyataan.
Wan Muhammad Adam Wan Mohd. Nazim, 19, berkata, sebelum ini dia terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana berdepan kekangan kewangan.
“Pendapatan ayah sebagai pemotong rumput sekitar RM700 sebulan manakala ibu suri rumah sepenuh masa. Jadi bila memikirkan keadaan keluarga, saya risau tidak mampu hendak teruskan pengajian. Tetapi alhamdulillah, bila saya memohon bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), The Thirdforce kelolaan Yayasan Raja Shamri (YRS) ramai yang tampil membantu.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada ramai pihak yang tampil membantu termasuk orang awam melalui inisiatif menyumbang komputer riba dan wang tunai lebih RM4,000 bagi persiapan pendaftaran serta Chauffeur Kelantan yang menyediakan pengangkutan untuk ke sana,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Tin, Melor di sini.
Wan Muhammad Adam berkata, semasa menuntut di Kolej Matrikulasi Gambang, Pahang, dia bergantung sepenuhnya dengan elaun bulanan untuk menampung keperluan asas sepanjang tempoh pengajian.
Terdahulu, kisahnya tular kerana berdepan kekangan kewangan untuk memulakan pengajian Sarjana Muda Sains Gunaan Dalam Fizik Perubatan Dengan Kepujian dengan yuran pendaftaran berjumlah RM1,320.
Wan Muhammad Adam turut memerlukan seunit komputer riba dan pakaian baharu bagi persediaan ke universiti. – UTUSAN










