DAEGU: Pasukan Robotik politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya meraih sebanyak 13 pingat pada Kejohanan 30th FIRA RoboWorld and Summit 2025 di Daegu, Korea Selatan sekali gus menjangkau sasaran awal iaitu sebanyak sepuluh pingat.
Seramai 16 orang pelajar dan lima pensyarah pengiring dari empat politeknik iaitu Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Port Dickson (PPD) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) telah mewakili Pasukan Robotik POLYCC dengan masing-masing meraih lima emas, tiga perak dan lima gangsa dalam empat (4) kategori dipertandingkan iaitu HuroCup, Autonomous Car Challenge, Air-Drone Autonomous Race, dan Air-Drone Emergency Service.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah turut memberikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sehingga pasukan POLYCC mampu mencipta kejayaan yang begitu cemerlang.
“Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan berbekalkan kepada pengalaman yang ditimba sepanjang kejohanan tersebut berlangsung dan diharap dapat membantu pelajar dan meningkatkan motivasi kepada pelajar lain untuk berjaya dalam apa jua bidang sekalipun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Kepulangan Pasukan Robotik POLYCC di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, baru-baru ini. – UTUSAN










